Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuntutan Sulu: Menteri beri taklimat pada ahli parlimen di hotel

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan akan menjalankan sesi taklimat tertutup kepada anggota parlimen berkaitan tuntutan terhadap aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam ini.

Taklimat akan diberikan oleh tiga menteri di Hotel Seri Pacific, tiga hari selepas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul bagi membincangkannya di parlimen.

Bercakap kepada pemberita di parlimen, Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata dia menerima undangan mendengar taklimat daripada menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menteri luar Saifuddin Abdullah dan menteri ekonomi Mustapa Mohamed.

“Selepas taklimat ada sesi soal jawab, tertutup,” kata Teo yang mempersoalkan keperluan menyewa hotel untuk tujuan itu ketika rakyat berdepan kenaikan kos hidup.

“Kalau kerajaan boleh sewa dewan hotel lima bintang, kenapa isu ini tidak boleh dibahaskan di dalam Dewan?” soalnya.

Hotel Seri Pacific, gambar hiasan

Katanya, isu kepentingan awam seperti itu patut dibahaskan di parlimen sama ada ada di Dewan Rakyat atau kamar khas.

Sementara itu, anggota parlimen Kota Kinabalu MP Chan Foong Hin pula berkata dia mengalu-alukan sesi libat urus itu tetapi berpendapat ia patut disusuli dengan sesi rasmi dan direkodkan dalam hansard parlimen.

“Sesi tertutup ini tidak boleh memuaskan hati orang ramai yang mempunyai hak untuk tahu,” katanya.

Azhar semalam sekali lagi menolak usul agar isu berkaitan kesultanan Sulu dan Petronas dibahaskan oleh ahli parlimen atas alasan ia boleh mendedahkan strategi perundangan kerajaan kepada musuh.

Pewaris sultan Sulu yang terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menggunakan proses undang-undang antarabangsa untuk menuntut pajakan tertunggak AS$14.92 bilion untuk Sabah.

Proses timbang tara dimulakan sebagai tindak balas kerana Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan RM5,300 pada 2013.

Waris Sulu merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di neagra Eropah Luxembourg bernilai AS$2 bilion.

[Baca berita asal]