Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Johor lawat tapak projek RTS di Singapura

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini (21 Julai) berkenan berangkat melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura bagi menyaksikan sendiri perkembangan projek berkenaan.

Keberangkatan tiba Sultan Johor dan delegasi disambut Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran dan pegawai kanan syarikat pemaju projek itu, SMRT Corporation Ltd. 

Turut mengiringi baginda Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Gambar-gambar lawatan turut dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini.

RTS Link, perkhidmatan ulang-alik transit aliran ringan sejauh empat kilometer antara Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen Woodlands North di Singapura.

Kereta api itu mempunyai kapasiti untuk menampung keperluan 10,000 penumpang setiap jam.

Penumpang akan menikmati pengalaman perjalanan yang pantas dan lancar dengan masa perjalanan hanya kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen.

Kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) penuh Singapura dan Malaysia akan ditempatkan di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar, bermakna setiap penumpang hanya perlu menjalani pemeriksaan imigresen sekali sahaja iaitu ketika berlepas. 

Ia dijangka beroperasi pada penghujung 2026 dan dijangka dapat mengurangkan kadar kesesakan di Tambak Johor.

Pembinaan sedang berjalan lancar  dengan kontraktor di kedua-dua pihak yakin projek itu dapat disiapkan mengikut jadual. 

Kerja-kerja infrastruktur di pihak Malaysia, termasuk stesen kereta api, depoh dan 2.7 kilometer jejambat darat dan laut, dikendalikan oleh MRT Corp, anak syarikat Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd.

Pembinaan di Singapura bermula pada Mac 2021.

Stesen kereta api berkenaan akan menjadi satu daripada yang terbesar di republik itu apabila siap kelak dan akan menyediakan perjalanan yang lancar ke Laluan Thomson-East Coast dan stesen MRT Woodlands North.

Rapid Transit System Operations Sdn Bhd (RTSO), usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corporation Ltd, akan menjadi pengendali perkhidmatan metro baharu ini.

Sultan Ibrahim dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula Rabu (20 Julai).

-  Bernama