Jelajah AKM Kelantan: Jualan minyak masak paket jadi tumpuan
Antara yang dilihat menjadi tumpuan ramai pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan di Stadium Muhammad IV di Kota Bharu hari ini ialah jualan minyak masak paket satu kilogram (kg) yang berharga RM2.50 di reruai Felda Global Ventures (FGV) Holding Berhad.
Perunding Jualan FGV Syeikh Mohammad Saifullah berkata selain minyak paket satu kg, turut menjadi tumpuan ramai yang berkunjung ke reruai FGV adalah jualan minyak masak 5kg yang berharga RM40 sebotol.
“Yang istimewanya di reruai FGV ini, dengan setiap pembelian minyak botol Saji 5kg pembeli akan menerima dua kotak santan keluaran Saji secara percuma,” katanya ketika ditemui Bernama.
Sementara itu seorang pengunjung Danny Eun, 68, meluahkan rasa puas hati kerana reruai FGV itu memudahkan beliau mendapatkan barangan keperluan seperti minyak masak paket berkenaan.
“Pembelian pertama saya adalah minyak satu kilo daripada Saji…kalau di luar sana (kedai runcit) memang teramat susah untuk dapatkan minyak masak paket ini sebab bekalannya sentiasa tidak mencukupi,” kata pesara itu.
Seorang lagi pengunjung yang juga merupakan suri rumah daripada Pengkalan Chepa, Rabiatul Akmal, 37, turut tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan dua pek minyak masak paket satu kg, dan beliau amat jelas bersyukur dengan kemudahan yang disediakan FGV di reruai berkenaan.
Jelajah AKM Kelantan bermula hari ini hingga Ahad bakal memanfaatkan Keluarga Malaysia di Kelantan dengan pelbagai program rakyat dan digitalisasi selaras dengan hasrat kerajaan memantapkan pendigitalan negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai