Skip to main
Logo Malaysiakini

Taklimat tuntutan Sulu di hotel: 'Budaya pintu belakang' - Raja Bahrin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tindakan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang menjalankan sesi taklimat “tertutup” kepada ahli parlimen berkaitan tuntutan terhadap aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu malam tadi menunjukkan kerajaan tidak serius mahu menangani isu terbabit.

Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata perjumpaan untuk ahli parlimen di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu juga merupakan perbincangan cara budaya pintu belakang oleh kerajaan yang didakwa naik berkuasa melalui 'pintu belakang'.

"Ini adalah perbincangan cara budaya pintu belakang oleh kerajaan pintu belakang. Sikap sebegini akan membuat negara kita dicemuh dan tidak dihormati dunia.

"Sikap tabiat suka melanggar perjanjian dengan sesama negeri dalam Malaysia telah diamalkan dalam isu perjanjian Royalti minyak dan gas termasuk Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang dibatalkan lebih 20 tahun dahulu walaupun Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah dengan Petronas dan juga mantan menteri kewangan dari Umno-BN membantah," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian mengulas pendedahan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching (gambar, atas) bahawa satu taklimat tertutup kepada anggota parlimen berkaitan tuntutan terhadap aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu dijalankan sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi, tiga hari selepas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul bagi membincangkannya di parlimen.

Bercakap kepada pemberita di parlimen, semalam Teo berkata sesi itu juga bagi mendengar taklimat daripada menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menteri luar Saifuddin Abdullah dan menteri ekonomi Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul mendakwa sikap angkuh kerajaan hari ini boleh menjerumuskan negara ke dalam kancah amat berbahaya kepada apabila kerajaan melanggar dan tidak mengendah perjanjian antarabangsa.

"Tidak ada mahkamah antarabangsa hendak mendengar dan melayan kerenah sikap purba kerajaan Malaysia ala jaguh kampung yang terlalu lama dan biasa salah guna kuasa membuli rakyat di negara sendiri.

"Malaysia akan terus berhadapan masalah lain terutamanya di pentas antarabangsa dengan sikap purba mereka. Ini akan membawa Malaysia ke arah kehancuran memasuki era persaingan serba canggih serta maju dengan pemimpin bersikap kuno dan angkuh kurang ilmu tinggi yang diperlukan," katanya.

Raja Kamarul berkata kerajaan hari ini cuma mementingkan mengutip hasil kekayaan bumi dari negeri-negeri tetapi mengabaikan nasib yang menimpa rakyat khususnya seperti di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Malah, katanya tidak mustahil Terengganu dan Kelantan berdepan dengan tuntutan yang sama dengan Sabah.

"Mesej sebenar filem Mat Kilau tidak difahami kerajaan kerana "penjajahan" dan salah guna kuasa ke atas rakyat sendiri masih dilakukan di mana hasil bumi tidak banyak menguntungkan orang tempatan.

"Kerajaan hari ini terlalu biasa memperalatkan undang undang dalam negara bukan untuk mencapai keadilan perjanjian tetapi untuk agenda sendiri dan kuncu kuncunya," katanya.

Pewaris sultan Sulu yang terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menggunakan proses undang-undang antarabangsa untuk menuntut pajakan tertunggak AS$14.92 bilion untuk Sabah.

Proses timbang tara dimulakan sebagai tindak balas kerana Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan RM5,300 pada 2013.

Waris Sulu merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di negara Eropah Luxembourg bernilai AS$2 bilion.