Azis: Apa sebab parlimen 'bacul' nak bahas tuntutan Sulu?
Dua ahli parlimen Warisan melahirkan rasa tidak senang terhadap taklimat tertutup oleh Peguam Negara Idrus Harun malam tadi mengenai tuntutan aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu.
Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman dan Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis, bersama Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, antara wakil rakyat yang hadir sesi taklimat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.
Azis mengulangi gesaannya sebelum ini - yang telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun - supaya Dewan Rakyat membahaskan usul mengenai perkara itu.
"Kami masih berpandangan bahawa perlu ada perdebatan dan perbahasan dalam parlimen walaupun sudah mendengar taklimat semalam (Khamis).
"Secara jujur kami tidak puas hati sebab banyak persoalan kita suarakan tidak dijawab tetapi mungkin disebabkan faktor masa. Sebab itu perlu ada perbahasan dan sebagai ahli parlimen, saya ingin menyatakan kepada kerajaan bahawa kami tahu had kami.
"Kita tidak akan mungkin menyuarakan atau membahaskan sesuatu perkara yang boleh menganggu gugat strategi kita untuk melawan waris kesultanan Sulu ini," katanya seperti dipetik laporan Sinar Harian.
Menurut Azis taklimat tertutup itu kebanyakannya meliputi kronologi di sebalik tuntutan oleh waris Sulu yang dikatakan itu, dan bukannya perkara yang menyentuh keputusan timbang tara yang merampas aset Petronas itu.
"Malah Sulu pun sudah tahu dari segi rentetan sejarahnya, sebab itu kita inginkan perbahasan dilakukan kerana kalau Parlimen di Filipina mereka terang-terangan menyuarakan bahawa mereka akan menuntut Sabah kerana itu sebahagian dari wilayah mereka.
"Jadi kami suarakan semalam kalau Filipina secara terbuka menyuarakan perkara ini seolah-oleh mereka tidak menghormati kedaulatan negara kita.
"Sebab apa Parlimen Malaysia terasa bacul, apa sebab kerajaan Malaysia bacul dalam usaha mempertahankan (kedaulatan negara)," kata Azis.
Sementara itu, Isnaraissah (gambar, bawah) yang usulnya di Dewan Rakyat ditolak speaker tiga kali berkata dia berharap kerajaan akan memberikan maklum balas positif hasil taklimat malam tadi itu.
"Saya rasa (Presiden Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal malam tadi pun ada bagi sedikit pandangan untuk kita harus bahaskan.
"Saya harap kerajaan menerimanya untuk kita bahaskan isu keselamatan ini," kata ahli parlimen Kota Belud itu..
Isnaraissah pada Isnin dikenakan perintah penggantungan dua hari selepas dia tidak mengendahkan arahan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dan berkeras mahu usulnya dibahaskan.
Malaysiakini difahamkan kira-kira 50 ahli parlimen kerajaan dan pembangkang telah hadir taklimat oleh Idrus malam tadi, yang turut menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
'Kerajaan bentuk jawatankuasa'
Sementara itu, beberapa ahli parlimen lain yang hadir membayangkan Putrajaya dijangka mengumumkan pembentukan jawatankuasa kerajaan yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata mereka dimaklumkan jawatankuasa itu akan ditugaskan untuk membantu Malaysia mencabar tuntutan Sulu di mahkamah di Sepanyol dan Perancis
Chan juga berkata Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin telah mencadangkan supaya jawatankuasa dwipartisan yang lebih luas dibentuk untuk melihat pelbagai keputusan berkaitan yang dibuat sejak 2013 hingga kini.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pula berkata keputusan dijangka dibuat semasa mesyuarat kabinet hari ini.
"Itulah yang kami diberitahu malam tadi," katanya kepada Malaysiakini.
Pewaris yang dikatakan kepada sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menggunakan proses undang-undang antarabangsa dalam usaha menuntut AS$14.92 bilion (RM66.38 bilion) dalam pembayaran pajakan tertunggak untuk Sabah.
Proses timbang tara dimulakan sebagai tindak balas kepada Malaysia memotong bayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.
Berikutan itu, pihak Sulu, melalui peguam mereka, berjaya merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai