Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita disyaki bunuh suami: Reman suspek, rakan subahat lanjut 6 hari

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Reman terhadap seorang wanita yang disyaki memukul suaminya sehingga mati serta rakan lelakinya yang bersubahat dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya di Johor Bahru Jumaat lepas disambung enam hari lagi sehingga Khamis depan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata perintah reman berkenaan dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Dhilip Nair.

“Kedua-dua mereka yang terlibat telah dikenakan perintah reman sambungan selama seminggu, bermula hari ini hingga 28 Julai,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lepas, seorang lelaki bekerja sendiri berusia 44 tahun ditemukan maut dengan muka dan kepala mengalami kecederaan, dipercayai diserang menggunakan objek tumpul dan dipukul oleh isterinya.

Suri rumah berusia 36 tahun itu dipercayai membunuh suaminya ketika berada di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Ibu kepada dua orang anak itu kemudiannya ditahan polis di kawasan berhampiran ketika cuba melarikan diri dan rakan lelakinya berusia 52 tahun ditahan di sekitar Majidee hari yang sama.

- Bernama