Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pelarian boleh sumbang lebih banyak pada ekonomi dari pekerja asing'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Golongan pelarian telah lama bekerja di Malaysia walau tanpa kebenaran kerajaan di Malaysia dan lazimnya dieksploitasi dengan gaji yang rendah, kata aktivis Sujauddin Karimuddin.

Bekas pelarian itu berkata lagi, namun golongan itu berjaya menjadikan pengalaman bekerja di sini untuk meraih pendapatan lebih baik di negara baru mereka.

Pada masa sama, katanya lagi, negara baru mereka itu juga meraih manfaat ekonomi dengan perkara itu.

Berasal dari Rakhine, Myanmar, Sujauddin menghabiskan masa lima tahun di Malaysia sebagai pelarian sebelum menetap di Australia pada 2005.

Dia berkata ramai warga Rohingya yang ditempatkan semula di sana menunjukkan prestasi yang baik dalam industri pembinaan.

Dia berkata apa yang paling penting, pelarian menyumbang dari segi ekonomi sebagai pembayar cukai sejurus selepas mendapat pengiktirafan sebagai pelarian di Australia.

Malah, katanya lagi, ada juga yang telah membayar cukai ketika permohonan mereka masih dalam proses, kerana mereka diberikan hak untuk bekerja dan seterusnya dapat menjalani kehidupan yang yang lebih baik dan bermaruah.

“Dengan pengalaman bertahun-tahun bekerja dalam sektor pembinaan di Malaysia, mereka menyertai sektor tenaga kerja Austraila sebagai buruh mahir, setelah lulus ujian amali terlebih dahulu, dan mula memperoleh pendapatan tidak kurang daripada anggaran gaji minimum AUD7,000 sebulan (RM21,525.99).

“Tanpa mengambil kira kadar tukaran mata wang pun, ia masih jauh lebih tinggi daripada apa yang mereka terima selama bertahun-tahun menghabiskan masa di Malaysia.

"Mereka kemudian menggunakan pendapatan mereka dalam ekonomi tempatan di negara baru mereka, pada masa sama turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya

Jelas Sujauddin lagi, ramai yang telah menjadi subkontraktor di tapak pembinaan dengan pendapatan bulanan antara AUD20,000 hingga AUD40,000 (RM61,630 hingga RM123,283).

Pelarian boleh tingkatkan ekonomi

Membandingkan pelarian dengan pengambilan pekerja migran yang lebih diutamakan kerajaan, Sujauddin berkata pekerja migran menghantar hampir semua pendapatan mereka ke negara asal.

Ini berbeza dengan pelarian yang tinggal dan berbelanja di Malaysia, kata lelaki berusia 41 tahun itu lagi.

“Daripada sewa rumah, bil utiliti, barangan runcit sehingga pengangkutan awam, pakaian, barang keperluan dan cukai pendapatan, pelarian boleh menyumbang lebih banyak kepada ekonomi Malaysia jika mereka diberi hak untuk bekerja.

“Pelarian membentuk sebahagian daripada apa yang menjadi fabrik masyarakat Malaysia dan apa yang mereka mahukan ialah dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dan hidup dengan bermaruah.

"Dan mereka boleh lakukannya, jika anda memberi peluang kepada mereka," kata Sujauddin.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan Malaysia menjadi tumpuan kepada kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka, dengan majoritinya berasal dari Myanmar, termasuk kira-kira 103,000 etnik Rohingya.

Menurut undang-undang, pelarian tidak dibenarkan bekerja di Malaysia.

Mengambil perspektif yang lebih luas, Sujauddin menegaskan bahawa penyertaan sah pelarian dalam tenaga kerja Malaysia boleh membantu merangsang ekonomi dan meningkatkan produktiviti dan ia boleh meningkatkan pulangan modal dan merangsang perdagangan antarabangsa.

Katanya, secara purata, pelarian tinggal antara tujuh hingga 15 tahun di Malaysia sebelum berpindah ke negara baru.

Ini bermakna selama tempoh itu juga ekonomi Malaysia boleh meraih manfaat jika pelarian dibenarkan bekerja, katanya lagi.

[Baca berita asal]