PM meriahkan 'bekwoh' Keluarga M'sia di Kelantan
Lebih 5,000 hadir bagi bersama-sama memeriahkan program “Bekwoh” atau kenduri besar-besaran yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan.
Hidangan istimewa gulai daging kawah, ayam goreng kunyit, ikan tilapia masak sambal, acar timun dan nasi putih menyambut ketibaan Perdana Menteri ke negeri Cik Siti Wan Kembang pada program “bekwoh” itu.
Sebelum menjamu selera, Ismail Sabri yang tiba pada 12.20 tengah hari di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Ketereh, dekat Kota Bharu diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang juga penyelaras Jelajah AKM Kelantan, turut mengambil peluang bersama-sama rakyat Kelantan memasak gulai kawah.
Antara turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Kelantan Datuk Azami Mohd Nor.
Sebelum itu sejurus tiba, Ismail Sabri merasmikan prapelancaran Hab Digital Ketereh dan teknologi 5G, yang bertujuan memperkasa usahawan tempatan dan mengoptimum jualan dalam talian.
Selesai sesi itu, beliau menuju ke dewan utama YKK dan dihiburkan dengan persembahan silat sebelum meluangkan masa menyantuni tetamu dalam kalangan penduduk setempat di khemah yang menempatkan 11 kawah berisi gulai daging kawah.
Ismail Sabri dan tetamu juga dihiburkan beberapa persembahan nyanyian dari PENTARAMA di bawah Jabatan Penerangan Malaysia.
Ismail Sabri meluangkan masa lebih sejam dan turut beramah mesra, bersalaman serta berswafoto dengan rakyat Kelantan sebelum meninggalkan majlis pada kira-kira 1.40 tengah hari.
Sementara itu, penduduk dari Kok Lanas, Siti Hamnah Abdullah, 59, ketika ditemui Bernama meluahkan keterujaannya dapat bertemu dengan pemimpin nombor satu negara itu pada program tersebut.
“Sebelum ini saya dengar dari kawan yang ada jemputan ke program “bekwoh” ini, saya pun setuju nak datang sebab teruja nak jumpa pemimpin nombor satu di Malaysia secara bersemuka dan gembiralah dapat selfie dengan Perdana Menteri,” katanya.
Selain gembira dengan kehadiran Perdana Menteri serta beberapa menteri yang lain, Nur Hisham Mahmud, 42, dari Telipot di sini berkata program “bekwoh” Keluarga Parlimen Ketereh itu amat baik kerana dapat mengeratkan silaturahim.
“Saya datang sini dengan ahli keluarga kira-kira 10 pagi sebab teruja hendak jumpa Perdana Menteri. Seronok dapat jumpa beliau secara bersemuka,” katanya menambah makanan yang dihidangkan juga amat menyelerakan.
AKM Kelantan yang bertemakan Keluarga Malaysia Keluarga Digital membuka tirai semalam hingga esok, bakal memanfaatkan Keluarga Malaysia di negeri ini dengan pelbagai program rakyat dan digitalisasi selaras dengan hasrat kerajaan dalam usaha memantapkan pendigitalan negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai