Majlis perwakilan pelajar UMT kecam himpunan #Turun
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (MPP UMT) hari ini mengecam dan menentang sekeras-kerasnya perhimpunan #Turun yang berlangsung di ibu negara semalam.
Dalam kenyataan hari ini persatuan pelajar itu berkata mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Mahasiswa UMT adalah dinasihatkan agar tidak menyertai sebarang aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang demi menjaga ketenteraman awam.
"Tindakan tegas mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) juga boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati melanggar akta berkenaan.
"MPP UMT menasihatkan mahasiswa UMT untuk terus bersikap matang dan bijaksana dalam menentukan perkara yang salah disisi undang-undang serta perlu menggunakan platform yang sebenar dalam menyuarakan pandangan serta masalah mereka kepada kerajaan," katanya.
Semalam Malaysiakini melaporkan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Turun, berkumpul di luar kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, bagi menuntut Putrajaya bertindak untuk menangani kenaikan harga barang sekarang.
Pihak penganjur berucap di luar kompleks beli-belah Sogo selama setengah jam sebelum cuba berarak ke Dataran Merdeka.
Aktivis pelajar, ahli politik belia, dan sekurang-kurangnya seorang wakil rakyat, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid bergilir-gilir menyampaikan pidato kepada penyokong mereka.
MPP UMT juga berkata mereka mengambil maklum bahawa isu kenaikan harga barangan sedang berlaku dan memberi kesan secara langsung kepada seluruh Keluarga Malaysia terutamanya golongan mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT).
Dalam keadaan itu MPP UMT berkata mereka sangat yakin isu tersebut dapat ditangani oleh kerajaan sekarang.
"Isu kenaikan harga ini dikatakan menjadi pemasalahan global dan tidak hanya berlaku di Malaysia. Tidak dinafikan, pelajar IPT turut terkesan dengan fenomena global ini terutama pelajar dari golongan B40.
"Justeru itu, MPP UMT yakin kepimpinan negara diterajui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sedang mengambil langkah terbaik dalam menangani isu ini," katanya.
Tambah badan itu UMT turut menyahut seruan kerajaan dalam menyediakan Menu Keluarga UMT sebagai usaha membantu pelajar yang terkesan.
"Mahasiswa yang tidak berkemampuan atau mempunyai masalah kewangan disarankan terus menghubungi pegawai di bahagian hal ehwal pelajar UMT atau mana-mana wakil MPP UMT.
"MPP UMT komited, cakna dan akan sentiasa melakukan yang terbaik bagi memastikan hal ehwal kebajikan mahasiswa UMT di kampus mahupun di luar kampus terjaga," ujarnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai