Skip to main
Logo Malaysiakini

Pasangan kekasih terlepas dari tali gantung sujud dalam mahkamah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sepasang kekasih melakukan sujud syukur dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan yang boleh membawa mati.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Uzair Che Darus, 32, dan Azilafatiha Ahmad, 27.

Menurutnya, mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kesemua tiga pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.

"Keputusan ini dijalankan selepas menilai tiga perkara termasuk akses penyewa lain terhadap sebuah rumah yang merupakan lokasi dadah tersebut ditemui.

"Kemungkinan ada individu lain yang mempunyai akses terhadap rumah tersebut menggunakan kunci pendua.

"Dakwaan wujud individu lain itu kuat apabila sebuah televisyen di dalam rumah tersebut turut hilang semasa sebelum dan selepas pegawai polis merakam gambar di situ," katanya ketika menyampaikan alasan penghakiman.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Uzair didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 8.5 gram.

Merengkok tiga tahun

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, Uzair dan Azilafatiha didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1,609 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 122.76 gram, manakala pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukan hukuman penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan Ahmad Uzair dan Azilafatiha di sebuah rumah di Jalan Tawang, Taman Mesira, Kampung Budi, Bachok kira-kira jam 1 pagi pada 9 Jan 2019.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Norazlinawati Mohd Arshad.

Azilafatiha pula diwakili peguambela Shaharuddin Mohamed dan Azhar Ahmad manakala Uzair diwakili Zameri Mat Nawang.

Sementara itu ibu kepada Azilafatiha, Asnah Omar, 68, ketika ditemui media menyatakan rasa syukur apabila anaknya dilepaskan daripada pertuduhan itu selepas meringkuk di Penjara Pengkalan Chepa lebih tiga tahun lalu.

"Saya tahu Azilafatiha berkawan dengan tertuduh lelaki (Uzair) beberapa bulan sebelum mereka ditahan.

"Saya bersyukur apabila doa dan solat hajat saya terhadap Azilafatiha akhirnya termakbul dengan keputusan mahkamah hari ini," katanya.