Skip to main
Logo Malaysiakini

Pimpinan PAS Kedah sangat kukuh, kata Hadi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan pimpinan dan kedudukan PAS di negeri Kedah sangat kukuh pada masa ini.

Abdul Hadi berkata demikian susulan pertemuan yang diadakan dengan pimpinan Badan Perhubungan PAS negeri Kedah semalam.

Turut kelihatan hadir dalam pertemuan itu ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya dan timbalannya yang juga Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Noor.

"Saya turun bertemu dengan pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah semalam, mendengar laporan gerak kerja PAS Kedah dan prestasi kerajaan negeri Kedah.

"Kedudukan PAS di Kedah sangat kukuh dan kuat, dengan keutuhan pimpinan dan dukungan akar umbi yang tidak berbelah bahagi, sama ada dari sudut komitmen tenaga dan sumbangan ahli.

"Teruskan perjalanan, semoga terus mendapat berkat dan pertolongan daripada Allah SWT dalam memimpin rakyat negeri Kedah, nikmat untuk semua," kata pentadbir laman Facebook Abdul Hadi.

Pertemuan antara Abdul Hadi dan pimpinan Badan Perhubungan PAS Kedah diadakan di tengah-tengah spekulasi akan berlaku penukaran jawatan menteri besar di negeri itu.

Ini selepas timbul desas-desus bahawa Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan akan mengambil alih tugas Sanusi sebagai menteri besar.

Baru-baru ini seorang pembantu kepada Sanusi menyangkal dakwaan bahawa menteri besar Kedah itu bakal digantikan berikutan kegagalan menangani isu banjir di Baling.

Kelmarin Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan kebimbangan mengenai suasana perpaduan dalam kalangan ahli dan pimpinan parti itu.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Menteri Alam Sekitar itu berkata terdapat kenyataan yang dibuat terhadap pimpinan PAS dilakukan tanpa adab dan hikmah.

"Bila air keruh, hentilah sementara untuk bagi masa air tenang dan jernih semula. Biarlah sekadar kocak-kocak air yang tidak mengeruhkan keadaan dan merosakkan ukhuwah jamaah.

“Kalau berlumba, wahai sahabatku, biarlah hanya ke arah menambahkan kebaikan dan saling memperkukuhkan jamaah,” katanya.