Skip to main
Logo Malaysiakini

Wilayah Iskandar Malaysia catat pelaburan komited RM13.2 bilion

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan
Wilayah Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan komited sebanyak RM13.2 bilion pada separuh pertama tahun ini dan sebanyak RM5.9 bilion daripadanya telah direalisasikan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah yang dicatatkan ini membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia.

“Sebanyak lebih RM10 bilion bakal dijana oleh pelaburan asing di wilayah ini untuk pembangunan pusat data.

“Pelaburan asing ini akan memberikan pertambahan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. Secara keseluruhannya, lebih 6,000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini telah mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) Kali Ke-30 bersama Menteri Besar Johor Onn Hafiz.

Ismail Sabri berkata sejak penubuhan pada 2006 sehingga Jun 2022, Iskandar Malaysia telah merekodkan sejumlah RM367.8 billion dan sebanyak 60 peratus daripadanya, RM221 bilion telah direalisasikan.

Beliau berkata daripada keseluruhan pelaburan direkodkan tersebut, RM148.1 bilion adalah daripada pelaburan asing.

Dalam pada itu, katanya IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan.

Beliau berkata pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di Kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara.

Katanya ini sejajar dengan agenda kerajaan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai “Agrifood Hub” Malaysia.

Katanya IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022 – 2030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai salah satu tunjang utama menjana ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan.

-Bernama