Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanpa MA63, tiada Malaysia - Maximus beritahu Dewan Rakyat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili menolak cadangan untuk mengadakan Perjanjian Malaysia baru bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963.

"Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah asas pembentukan Persekutuan Malaysia. Tanpa MA63, tiada Malaysia. MA63 sama dengan batu sumpah," katanya kepada Dewan Rakyat semasa sesi pertanyaan menteri hari ini.

Katanya, MA63 termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang perubahan dalam MA63 akan terpesong daripada tujuan pembentukan Malaysia.

Tanpa menamakan mana-mana ahli politik, dia berkata sebarang pandangan mengenai perjanjian baru Malaysia adalah pandangan yang menyimpang daripada perjuangan nasionalisme negara dan mengelirukan, serta jauh tersasar dan tidak konsisten dengan pindaan perlembagaan.

"Apabila perjanjian Malaysia diabaikan maknanya membelakangkan persekutuan Malaysia,” katanya menjawab soalan Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar).

"MA63 amat penting kerana tanpanya tidak akan ada rujukan dan asas untuk membincangkan isu-isu yang dapat memberikan manfaat kepada Sabah dan Sarawak.

"Kita harus memberi tumpuan kepada perkara seperti sama ada perkara yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia telah dipatuhi dan sama ada hak itu ada yang masih belum dipenuhi, maka tanggungjawab kita untuk sama-sama memastikan ia dilaksanakan.

"Kita seharusnya bersatu padu membina untuk kekuatan, keamanan dan perpaduan di negara ini demi anak-anak dan cucu cicit kita.

"Kita perlu elakkan bermain dengan semantik dan politik kerana ia tidak akan membawa lebih kebaikan daripada kemunduran khas dari segi kesatuan dan kesepaduan Keluarga Malaysia," kata Maximus yang juga ahli parlimen Kota Murudu.

Aziz meminta kerajaan menjawab cadangan ahli politik termasuk Ahli Parlimen Keningau berhubung keperluan mengadakan perjanjian baru menggantikan MA63 dan implikasi kepada wilayah Sabah dan Sarawak sekiranya Perjanjian Malaysia 1963 dibatalkan dan digantikan dengan perjanjian baru.

Timbalan pengerusi BN Mohamad Hasan ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah di Penampang baru-baru ini mencadangkan agar kepimpinan BN Sabah mencadangkan Perjanjian Malaysia baru untuk merealisasikan hak dan tuntutan negeri seperti yang termaktub dalam perjanjian MA63 sedia ada.

"Kita mesti mempunyai jalan keluar untuk isu ini. Ia telah berlarutan sekian lama dan rakyat Sabah mahukan jalan ke hadapan yang konkrit. Pada tahap rundingan dan persefahaman yang berlangsung sekarang, saya rasa ia tidak menjurus kepada sebuah persefahaman dan persetujuan diharapkan.

"Mungkin kita memerlukan perjanjian baru. MA63 pada pandangan saya, semangat dan aspirasinya adalah dalam konteks yang sangat berbeza. Zaman telah berubah. Malaysia juga telah banyak berbeza.

"Masa depan pula penuh dengan rahsia dan potensi luar biasa. Pastinya kita mesti melihat semuanya dalam konteks masa depan, bukan lagi terus pegun dengan sejarah silam," katanya.

Pemimpin Sabah sebelum ini telah mengadakan rundingan dengan kerajaan persekutuan untuk mengembalikan hak negeri di bawah perjanjian 1963 (biasanya dirujuk sebagai MA63) yang mereka dakwa telah diabaikan.