Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Kerajaan akan tetapkan dasar mengenai ketelusan harga ubat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk mengatasi masalah kenaikan harga ubat-ubatan dengan memperincikan pelaksanaan ketelusan harga ubat, melalui memorandum untuk diluluskan oleh jemaah menteri.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya akan membawa satu dasar di mana syarikat-syarikat farmaseutikal perlu membentangkan kepada kerajaan berhubung harga yang akan dikenakan terhadap ubat-ubatan.

“(Salah satu menjadi) penentu harga adalah soal intellectual property or patent. Masalah ini telahpun kita (KKM) usahakan supaya tak ada proses evergreening.

Evergreening ni adalah (apabila) syarikat farmaseutikal ia ubah sikit ubat tersebut dan ia mohon supaya paten itu disambung bertahun-tahun sehingga tidak ada ubat-ubatan generik yang boleh dihasilkan dan akhirnya (harga) ubat tersebut kekal pada paras yang tinggi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Salim Shariff (BN -Jempol) di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Salim meminta kementerian menyiasat mengapa ubat-ubatan untuk penyakit seperti kanser dan leukemia terlalu mahal, serta bertanya apakah strategi KKM untuk menstabilkan harga bahan mentah ubatan-ubatan supaya dapat mengelakkan kenaikan yang lebih tinggi.

Khairy menjelaskan, bagi mengatasi masalah tersebut, pertama, kerajaan akan melihat kepada sumber-sumber alternatif sekiranya berlaku gangguan kepada bekalan rantaian di peringkat global.

“KKM juga sedang perincikan pelaksanaan harga ubat melalui mekanisma ketelusan harga ubat yang kini dalam memorandum jemaah menteri untuk kelulusan jemaah menteri.

“Ini adalah price transparency. Saya nak bawa satu dasar di mana syarikat-syarikat farmaseutikal mestilah membentangkan pada kerajaan apakah harga yang dijual ataupun harga yang dikenakan pada ubat-ubat mereka seperti ubat-ubat yang disebut YB tadi, (seperti) ubat-ubatan kanser.

“Sebab tak ada price transparency, maka kita (KKM) in the mercy of big pharma, di mana kita sebenarnya tak tahu apakah sebenarnya kos pengeluaran ubat-ubatan tersebut.

“Jadi kita akan bawa satu paper untuk diadakan mekanisme ketelusan harga ubat di Malaysia ni supaya kita dapat tahu apakah kos yang adil dan berpatutan untuk ubat-ubat tertentu,” katanya.

Antara langkah lain bagi mengatasi masalah kenaikan harga ubat-ubatan ialah kawalan harga, di mana menurut Khairy, ia merupakan pilihan terakhir memandangkan kerajaan tidak gemar campurtangan dalam pasaran, sambil memberikan contoh campur tangan kerajaan dalam isu bekalan vaksin Covid-19 pada sektor swasta.