Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya boleh mati tunggu rawatan jika masih di depoh ngeri'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebelum ini, sekumpulan warga China pernah mendedahkan dakwaan mereka mengenai pengalaman pahit ditahan di Depoh Imigresen Pekan Nanas di Johor.

Kini, seorang warga Singapura pula tampil untuk berkongsi pengalamannya.

Pesara jurutera Wong Chun Khuen, 65, ditahan Jabatan Imigresen Johor selama lima minggu sebelum dihantar pulang.

Walaupun Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menolak dakwaan warga China sebelum ini bahawa makanan dan barangan lain di pusat tahanan itu dijual dengan harga yang melambung tinggi, Wong mendakwa perkara itu benar.

Ilustrasi, Depoh Imigresen Pekan Nenas.

Dakwanya lagi, tahanan tidak dibenarkan berhubung terus dengan pegawai atau pengawal dan mesti menyampaikan permintaan mereka melalui banduan yang bertindak sebagai “checker” (tukang periksa) atau (penjaga) "kawasan".

'Tukang periksa', kata Wong, biasanya tahanan yang dominan serta bertanggungjawab untuk menjaga disiplin dan ketenteraman dalam sel.

'Penjaga kawasan' pula, terdiri daripada tahanan yang dipilih sendiri untuk menjalankan tugas bagi pegawai dan pengawal serta berkhidmat sebagai utusan.

“Mereka mendapat 'habuan' dengan bertindak sebagai perantara antara pegawai dan tahanan untuk pelbagai urusan.

“Panggilan telefon selama tiga minit berharga RM100 bagi setiap panggilan dengan menggunakan telefon bimbit pegawai. Mereka juga mengatur tawaran seperti membeli serbuk pencuci, sabun, ubat gigi dan sebagainya,” dakwanya.

Disebabkan ini, Wong mendakwa bahawa 'tukang periksa' dan 'penjaga kawasan' menikmati keistimewaan tertentu, seperti mempunyai kebebasan untuk berada di luar sel mereka, bekalan makanan dan ruang tidur.

Semasa dipenjarakan, warga Singapura itu berkata dia tidak dibekalkan dengan keperluan, memaksa tahanan itu membeli barang-barang tersebut.

Wong mengimbas kembali dia dipaksa memakai pakaian yang sama selama dua minggu sebelum isterinya dibenarkan menghantar pakaian, tuala dan barangan lain.

Tahanan sakit tak segera dirawat

Mereka mendakwa barang itu diperoleh daripada pegawai imigresen yang dirujuk sebagai "bos" blok tahanan mereka dan pembayaran dibuat ke akaun bank atas nama yang berbeza daripada pegawai itu.

Sementara itu, Wong juga mendakwa dia menyaksikan bagaimana seorang tahanan yang sakit tidak diberikan rawatan perubatan segera, yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

Katanya, dia melihat tahanan itu terbaring di atas lantai, menderita kesakitan tetapi pengawal terlalu sibuk dengan tugas mereka.

“Setelah beberapa waktu, pada lewat petang barulah dia dihantar ke hospital. Ketika itu keadaannya kelihatan seperti semakin memburuk.

“Semasa kami memerhatikannya dari sel kami, kami tahu bahawa dia berada dalam keadaan tenat ketika dia dihantar ke hospital.

“Tahanan itu tidak pernah kembali ke sel. Kemudian, kami mendengar dari 'penjaga kawasan' kami bahawa dia telah meninggal dunia. Maklumat mengatakan dia meninggal dunia akibat penyakit kencing tikus (leptospirosis),” tambahnya.

Berikutan itu, Wong berkata pihak berkuasa melakukan pembersihan secara besar-besaran di seluruh pusat tahanan termasuk menggunakan bahan kimia untuk membersihkan tangki air.

Ilustrasi tandas dan tangki air di sel depoh imigresen Pekan Nanas untuk tahanan lelaki. Kolah air itu satu-satunya sumber air untuk tahanan mandi, mencuci pakaian dan membersihkan dulang makanan.

Wong sendiri mengalami kelewatan rawatan perubatan apabila dia mengalami masalah kencing. Mengesyaki dijangkiti, dia meminta rawatan segera tetapi terpaksa menanggung kesakitan selama hampir tiga jam.

“Para pengawal sibuk dengan tahanan dan mnencatat rekod mereka. Jadi saya disuruh tunggu.

“Itulah mentaliti pengawal dan pegawai. Mereka tidak mengambil berat tentang keadaan tahanan walaupun mereka sedang nazak. Mereka tidak peduli sama ada anda bernafas atau tidak.

“Apa pun yang berlaku, mereka hanya akan menyalahkan prosedur operasi standard (SOP). Semuanya perlu mengikut SOP, tidak kira betapa mendesaknya keadaan. Mereka akan berkata, ‘Oh, tiada pengawal? Jadi, awak tunggu lah',” dakwanya.

Pelan sel tahanan ilustrasi oleh Wong Chun Khuen.

Mengenai pengalamannya menghabiskan tiga malam di penjara Kluang pula, sebelum dipindahkan ke depoh imigresen, Wong mendakwa dia dipaksa 'berjalan mencangkung' walaupun memaklumkan pegawai itu bahawa dia mempunyai tekanan darah tinggi dan asma.

“Mereka membogelkan kami. Kami kemudiannya diperintahkan untuk 'berjalan mencangkung' sambil mengangkat tangan dengan laju. Ini diulang berkali-kali. Ia boleh menyebabkan serangan asma tetapi mereka tidak peduli,” dakwanya.

Wong mendedahkan bahawa dia mengalami serangan jantung kira-kira empat bulan selepas kembali ke Singapura.

“Jika saya masih berada di tempat yang tidak berperikemanusiaan itu (pusat tahanan), saya pasti akan mati semasa menunggu rawatan,” jelasnya.

[Baca berita penuh]