Skip to main
Logo Malaysiakini

LTAT kesal staf terus berpiket

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyatakan rasa kesal dengan keputusan Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) meneruskan piket walaupun pelan penyelarasan gaji dan bayaran sara hidup telah dimaklumkan lebih awal.

Lembaga itu berkata kebajikan staf sentiasa menjadi keutamaan walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar sejak negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Ini berikutan dakwaan dibuat KKLTAT bahawa pihak pengurusan LTAT tidak mengendahkan kebajikan pekerja dan masih enggan membayar tunggakan pelarasan gaji melalui semakan semula skim gaji dan skim perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2020.

"Tuntutan ini sememangnya dalam proses pelaksanaan dan akan diselaraskan bukan secara pukul rata sepertimana amalan sebelum ini, tetapi secara individu mengikut pemetaan gaji (salary-mapping) yang wajar.

"Oleh kerana itu, sebahagian kakitangan yang berada di bawah P50 (tanda aras gaji pasaran) bakal menikmati penyelarasan gaji sehingga 36 peratus selain daripada bayaran sara hidup sebanyak RM5,200 setiap seorang.

"Namun, pihak pengurusan rasa kesal dengan keputusan KKLTAT untuk meneruskan piket walaupun pelan penyelarasan gaji dan bayaran sara hidup telah dimaklumkan lebih awal.

“Sejak tahun 2020 dan sehingga kini, LTAT terus membayar bonus tahunan maksimum tiga bulan," kata lembaga itu pada kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan lebih 100 kakitangan LTAT berpiket semalam setelah kecewa dengan pihak pengurusan yang didakwa mereka tidak melayan pelbagai tuntutan dan isu yang dibangkitkan.

Piket itu dibuat selepas lebih dua tahun pengurusan LTAT enggan membayar tunggakan pelarasan gaji melalui semakan semula skim gaji dan skim perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2020.

Presiden Kesatuan Kakitangan LTAT (KKLTAT) Zulharith Shahrizzan Kumar Abdullah memberitahu pemberita, piket bermula semalam akan terus diadakan setiap hari sehingga Jumaat antara 1 petang hingga 2 petang.

Tindakan industri ini, kata Zulharith diadakan sehingga pihak pengurusan menunaikan segala tuntutan yang dibangkitkan.