Skip to main
Logo Malaysiakini

Usul lanjut Sosma: Hamzah bangkitkan kebimbangan jenayah terancang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes jenayah terancang terus berlaku selepas Dewan Rakyat menolak usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin berkata demikian semasa membentangkan semula usul berkenaan di Dewan Rakyat bagi membolehkan tempoh tahanan selama 28 hari dikekalkan selama lima tahun lagi bermula 31 Julai.

"Dalam tempoh selepas usul pelanjutan tempoh kuat kuasa ini tidak diluluskan pada 23 Mac 2022, kejadian jenayah terancang terus berlaku.

"Sebagai contoh, kejadian tembakan di Sungai Petani di mana si mati adalah orang yang dikehendaki pihak PDRM kerana disyaki terlibat dalam jenayah terancang dan dadah.

"Selain itu, seorang lelaki yang juga merupakan saksi kes bunuh telah ditetak sampai mati di Klang. Ini adalah sebahagian dari contoh-contoh kes yang mana penjenayah-penjenayah di luar sana masih bebas dan tanpa rasa gentar terus melakukan jenayah,” katanya.

Sosma berbeza dengan ISA

Hamzah berkata terdapat banyak perbezaan antara Sosma dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kita tidak perlu membuat perbandingan dengan antara Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960 dan SOSMA 2012. Banyak perbezaan dan perkara-perkara yang digubal untuk membuktikan Sosma adalah satu akta memberi peluang dan hak yang cukup untuk orang tahanan dari sudut undang-undang.

"Perlu diingat, keadilan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan keselamatan negara serta rakyat secara keseluruhan adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara dan tugas pihak PDRM serta semua agensi keselamatan di negara adalah bagi memastikan negara ini aman dan selamat untuk didiami,” tegas Hamzah.

Menurutnya, polis bukan sahaja memerlukan 28 hari untuk melengkapkan siasatan mereka tetapi juga memerlukan masa untuk meyakinkan saksi agar memberikan keterangan.

"Walaupun akta memperuntukkan 28 hari untuk melakukan penyiasatan, namun secara realitinya pihak polis hanya mempunyai tempoh 21 hari sahaja untuk membuat penyiasatan. Hal ini berikutan 7 hari sebelum tamat tempoh 28 hari tersebut, pihak polis perlu menyerahkan Kertas Siasatan yang telah lengkap kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.

"Tempoh 28 hari ini juga sangat penting kerana pihak PDRM memerlukan masa terutamanya bagi meyakinkan saksi-saksi untuk memberikan pernyataan," katanya.

Pada 23 Mac lalu, Dewan Rakyat menolak usul untuk melanjutkan tempoh penguatkuasaan subseksyen 4(5)Sosma selama lima tahun lagi.

Bagaimanapun pada Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul membatalkan keputusan berkenaan.