Pemborong kantoi simpan minyak masak di lokasi lain
Walaupun mempunyai lesen pemborong minyak masak, tindakan seorang peniaga menyimpan sejumlah minyak masak paket dan gula dalam premis yang tidak dibenarkan sebagai lokasi penyimpanan membawa padah.
Ini apabila pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan bertindak melakukan serbuan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan Aswadi Jaafar berkata satu serbuan dibuat ke atas sebuah premis borong yang berlesen dalam keadaan mencurigakan di Kok Lanas, Kota Bharu, semalam.
"Serbuan itu menemui 2,210kg minyak masak paket bersubsidi dan 1,680kg gula yang dianggarkan bernilai RM10,313 yang disimpan bukan di premis borong sebaliknya di sebuah lokasi lain di bangunan yang sama.
"Perbuatan itu disyaki melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu mengalih di tempat yang tidak dilesenkan dan melanggar Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan 1974.
"Turut disita adalah dokumen berkaitan manakala pemilik premis borong itu juga ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Aswadi berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana peniaga atau individu yang melanggar undang-undang dan seterusnya tindakan tegas boleh dikenakan.
Tambahnya kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras ketirisan barang kawalan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan barang kawalan mencukupi dalam pasaran dan dinikmati pengguna.
"Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas kepada mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang akan dikenakan," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai