Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketsa sokong pemulihan Tasik Chini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) hari ini menyatakan komitmennya untuk menyokong kerajaan negeri Pahang dalam memulihkan Tasik Chini dan mengekalkan kedudukannya sebagai Rizab Biosfera.

Ini selepas Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dalam laporan berkala pertamanya mengenai Tasik Chini mendapati ia tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

Dalam satu kenyataan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan pengurusan Rizab Biosfera Tasik Chini (TCBR) sejak Unesco mengeluarkan penemuannya tahun lepas.

Katanya, inisiatif yang dijalankan adalah selaras dengan saranan Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR), termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan tiga fungsi TCBR, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menjalankan aktiviti penguatkuasaan bersepadu, dan menghentikan semua aktiviti perlombongan di kawasan tasik.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang bagi mengukuhkan tadbir urus Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

"KeTSA sentiasa menyokong komitmen dan usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini. Bagi tujuan ini, KeTSA telah menyediakan peruntukan sebanyak lebih RM1.5 juta sejak tahun 2016 bagi melaksanakan pelbagai kajian di Tasik Chini termasuk kajian kualiti air.

"Selain itu, KeTSA melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar TCBR pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM800,000.00.

"KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kemampanan TCRB selaras dengan objektif program MAB dan komited untuk menyokong usaha mempertahankanstatusnya sebagai Tapak Rizab Biosfera," jelasnya.

Menurut Takiyuddin lagi, kerajaan Pahang telah menyediakan laporan semakan berkala (periodic review) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak Unesco.

"KeTSA sebagai national focal point bagi program MAB telah mengemukakan laporan periodic review Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini kepada Sekretariat MAB pada tahun 2021," jelasnya.

Tasik Chini adalah yang pertama daripada hanya tiga tapak biosfera Malaysia yang diiktiraf oleh Unesco sebagai sebahagian daripada program manusia dan biosfera (MAB)

Status tasik itu sebagai Rizab Biosfera Unesco kini sedang dalam penelitian dan penemuan awalnya tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama Unesco, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada WNBR)-.

Ia memetik beberapa penemuan di sebalik kesimpulan itu, termasuk "kesan bencana alam sekitar" akibat bekas tapak perlombongan dibuka semula dan diperluaskan dan penukaran guna tanah daripada ladang getah dan kawasan hutan kepada ladang kelapa sawit.

Turut diketengahkan ialah beberapa isu dengan dokumentasi dalam semakan berkala Tasik Chini, termasuk ketiadaan peta pengezonan yang dikemas kini dan pelan pengurusan untuk rizab biosfera.