Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesawah tuntut k'jaan tukar subsidi padi ke dalam bentuk tunai, baucer

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Para pesawah menuntut kerajaan menukar semua subsidi input untuk pengeluaran padi kepada bentuk tunai.

Perkara itu dimaklumkan dalam memorandum Jaringan Pengeluar Makanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selaku pengerusi Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara.

"Ketika ini, untuk mengekalkan harga runcit beras tempatan pada RM2.60 sekilogram, kerajaan memberikan subsidi seperti Skim Baja Padi kerajaan Persekutuan, Skim Intensif Pengeluaran Padi, Insentif pengeluaran benih padi sah dan Insentif Harga Padi.

"Semua subsidi ini (kecuali insentif harga padi) tidak diberikan terus kepada pesawah sebaliknya kepada syarikat-syarikat terpilih.

"Tetapi perkhidmatan kebanyakan syarikat-syarikat atau vendor yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan baja, benih dan inpiut-inpiut pertanian ini kepada pesawah kurang memuaskan - barangan yang berkualiti rendah atau pun tidak sesuai untuk semua jenis sawah malah sering dihantar lewat," kata memorandum itu yang dilihat Malaysiakini.

Pesawah menyarankan kerajaan memberikan peruntukan yang sama disampaikan melalui tunai atau baucer.

"Supaya pesawah dapat memilih barangan yang terbaik dan sesuai dengan kaedah pertanian dan tanah sawah mereka.

"Kuota pengeluar benih juga dihapuskan dan pasaran dibuka untuk menggalakkan persaingan.

"Sistem subsidi baja, racun dan input pertanian yang lain juga perlu diselaras sama seperti cadangan sistem benih supaya petani memiliki lebih banyak pilihan dan harga input pertanian dapat distabilkan melalui persaingan," kata memorandum itu lagi.

Para pesawah juga menuntut kerajaan menambah insentif subsidi harga padi sebanyak RM0.44 sekilogram menjadikan ia berjumlah RM0.80 sekilogram.

Awal hari ini, sekumpulan petani, penternak dan nelayan berhimpun di luar bangunan parlimen bagi menghantar memorandum berkenaan yang menuntut kerajaan menjamin pengeluaran makanan negara dengan menangani isu-isu yang dihadapi mereka.

Pun begitu, tiada wakil kerajaan yang menerima memorandum yang mendapat sokongan lebih 40 pertubuhan itu.

Namun, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar (gambar, atas), Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menerima memorandum berkenaan bagi pihak pembangkang.

Mahfuz berkata rakyat perlu dibenarkan mengamalkan hak demokratik mereka untuk berhimpun secara aman dan menggesa kerajaan memberi maklum balas terhadap tuntutan dalam memorandum itu.

"Hakikatnya, kehadiran semua orang di sini pada hari ini menunjukkan kuasa rakyat akan menjadi sebab utama yang dapat memperkukuh keselamatan pengeluaran dan bekalan makanan di negara kita," katanya.

Hassan pula berkata jaminan pengeluaran makanan perlu diberi perhatian kerana ia adalah hak asasi manusia.

“Sebagai ahli Jawatankuasa Hak Asasi, yang dipilih sendiri oleh kerajaan, ini adalah isu yang saya ambil serius.

“Keselamatan makanan juga merupakan hak asasi manusia dan saya berharap isu yang dibawa hari ini akan dibincangkan di parlimen,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar, yang hadir himpunan itu juga berkata parlimen digesa meluluskan resolusi bagi menjamin pengeluaran makanan di negara ini.

“Terutama pada masa yang sukar ini, jangan halang mereka, benarkan mereka mengeluarkan makanan," katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu membantu pengeluar makanan negara dan menangani isu-isu yang dihadapi mereka.

Jeyakumar menjelaskan pekebun sayur di Perak misalnya berhadapan cabaran pemilikan tanah manakala nelayan di Pulau Pinang pula diancam pencemaran akibat kerja-kerja penambakan laut.

Hal-hal sebegini, katanya akan menjejaskan jaminan pengeluaran makanan negara.