Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mitos kuasa ekonomi kerajaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Teriakan “turun, turun, turun harga barang” berkumandang semasa demonstrasi #Turun. Di celah-celah kerumunan, kalimat ini diteriak sehingga darah muda demonstran memancut bersama kelantangannya.

Tentunya, kita tidak hairan sekiranya kalimat ini diteriak anak muda, yang rata-ratanya sudahpun disumbat ideologi tertentu, termasuklah ideologi yang berselindung di balik slogan "demi rakyat" sekalipun.

Tetapi, langganan perspektif bahawasanya kerajaan mampu menurunkan harga barang hakikatnya tidak sebatas anak muda yang mengaku kiri semata. Bahkan, turut dilanggan orang tua kanan sekalipun.

Sama ada kiri mahupun kanan, muda atau tua—kalaulah pembahagian ini masih releven—masing-masing masih berfikiran betapa kerajaan mesti mampu menurunkan harga barang.

Barangkali menggolongkan semua kubu bertentangan sebakul tidak begitu mengerutkan dahi kita.

Tetapi, ternyata kaum intelektual di negara kita turut mengambil sikap yang sama. Tidak pelik jika kita bertemu ahli sosiologi yang turut berpandangan kerajaan memang berkuasa menurunkan harga barang.

Jelas sekali, faham ini bermaharajalela dalam benak setiap warga—sama ada kaum intelektual yang (konon) berfikir mahupun kawanan demostran yang (tidak sedar) tidak berfikir.

Padahal, kerajaan sebenarnya tidak memiliki secebis kuasa pun untuk menurunkan harga barang. Sekiranya kerajaan tetap bertindak menurunkan harga barang, pemboleh ubah lain akan turut bergerak bersama—sehingga dinamik ekonomi sukar ditebak.

Mengapa? Kerana kerajaan (sistem politik) dan pasaran (sistem ekonomi) adalah dua entiti yang berbeza; masing-masing merupakan dua sistem sosial yang berlainan.

Manipulasi demi kuasa

Kerajaan hanyalah suatu komponen dalam sistem politik yang tumpuannya jelas mengadap kekuasaan. Sekiranya kerajaan menurunkan harga barang, tindakan tersebut dilakukan bukannya untuk merancakkan ekonomi, tetapi untuk memapankan kuasanya.

Dalam hal ini, tindakan kerajaan menurunkan harga barang hanyalah untuk memastikan populariti kerajaan terus bertahan—setidaknya sehingga pilihanraya umum berikutnya. Justeru itu, adalah suatu pembohongan sekiranya kerajaan boleh mengelola pasaran sesuai dengan kehendaknya.

Jadi, berahi kerajaan, termasuklah parti-parti politik, adalah pengekalan atau perebutan kuasa. Lazimnya, selagi mana pasaran boleh dimanipulasi, maka kerajaan dan pembangkang akan terus mengeksploitasinya demi mempertahan atau merampas kekuasaan tersebut.

Kesannya, sektor-sektor persekitaran (environment) kepada politik—rakyat, misalnya—bakal menjadi mangsa. Ini ditambah lagi sistem politik semakin menggemuk sehingga semua sistem sosial lain (ekonomi, kesihatan, sains, dll) ditelan ke dalam perspektif sistem politik.

Dalam keadaan ini, wajah totalitarianisme pun menjelma.

Bibit-bibit totalitarianisme ini dapat dihidu tatkala rakyat tertipu dengan kempen jualan murah inflasi, pengekalan subsidi, potong gaji menteri dan lain-lain—kononnya semua ini adalah strategi mengawal pasaran. Jelas, rakyat adalah mangsa mudah dan segera.

Kita akan bersikap lebih jernih andai menyedari betapa sistem politik sama sekali berbeza dengan sistem ekonomi. Sekiranya sistem politik (termasuk parti berasaskan agama sekalipun) memberhalakan kuasa, maka sistem ekonomi pula berkiblatkan pertukaran (transaction).

Sebab itu, sistem ekonomi mempunyai pertimbangan yang berbeza dengan sistem politik. Kenaikan harga barang tentu sekali disebabkan pelbagai faktor dalam pesekitarannya. Hatta, campur tangan kerajaan sebenarnya boleh menjadi penyebab kenaikan harga barang; bukannya penurunan harga barang!

Misalnya, mengapakah kita tidak melihat dasar kerajaan mengendalikan pandemik sebelum ini sebagai punca kenaikan harga barang? Kita menempuh kuncitara (lockdown) antara terlama di dunia sehingga turut mengundang kemerosotan ekonomi.

Siapa yang melaksanakan kuncitara? Kerajaan.

Biarkan sistem mandiri

Sekiranya kerajaan tidak sewenang-wenangnya mencampuri urusan sistem kesihatan dan sistem sains dengan pendekatan politik, barangkali sistem ekonomi kita dewasa ini dapat menebat inflasi dengan lebih baik.

Dalam kata lain, tindakan menyibuk kerajaan hanyalah menyebabkan persekitaran ekonomi semakin tidak menentu lantaran keseimbangan pasaran diganggu (irritated) unsur di luar sistem ekonomi tersebut.

Maka, apa yang kerajaan sepatutnya lakukan bukanlah menurunkan harga barang setiap kali adanya teriakan demostran dari jalanan ataupun gesaan kaum intelektual dari menara gading.

Sebaliknya, kerajaan harus membiarkan sistem ekonomi terus berfungsi secara mandiri (autonomous) tanpa perlu menyingsing lengan tangan sepanjang masa. Membenarkan kerajaan campur tangan dalam ekonomi—walaupun atas nama mengutip cukai—ibarat tikus membaiki labu-labu.

Sistem ekonomi, sekiranya dibiarkan mandiri, secara tabiinya boleh berfungsi dengan lebih lancar tanpa campur tangan kerajaan. Apatah lagi, tangan kerajaan tersebut sering berlumur pelbagai kepentingan peribadi dan parti tertentu.

Paling ideal (walaupun mustahil), kerajaan harus membataskan dirinya dalam kepompong politik sahaja.

Kerana itu perspektif sistem sosial tegas menyatakan bahawasanya sistem politik mestilah juga bersifat mandiri, yakni tumpuannya hanyalah mengelola hubungan simbiotik antara rakyat, pentadbiran dan kerajaan.

Untuk sistem ekonomi pula, tugas kerajaan bukannya berniaga. Ini tidak, kerajaan akan melihat setiap peluang ekonomi bak kucing mengigit gigi saat melihat cicak. Sebaliknya, tugas sebenar kerajaan berkaitan ekonomi adalah membuka akses seluas mungkin agar memudahkan mereka yang terlibat dalam kegiatan ekonomi.

Sebab itu, perubahan masyarakat kadang kala boleh bermula “bukan daripada kerajaan” ataupun "bukan dengan menjadi kerajaan.” Membambu kerajaan (mana-mana kerajaan pun) adalah kerja sedap, tetapi tidak begitu berfaedah.

Dalam sejarah, perubahan lebih kerap terhambat angkara kerajaan. Walhal, dunia tetap terus berdetik biarpun tanpa kerajaan; petani akan terus bertani, penternak akan terus menternak, peniaga akan terus meniaga.

Sebagai renungan, berbanding konsep masyarakat (society), konsep kelompok (community) lebih munasabah untuk menggerakkan perubahan—biarpun dalam skala kecil. Kita boleh membina kelompok tertentu tanpa perlu bercita-cita mengubah negara sekalipun (apatah lagi mengubah dunia!).

Justeru itu, dendangan kerajaan mesti menurunkan harga barang adalah pantulan kelemahan kita sendiri.

Dalam perlawanan terhadap kerajaan, kita rupa-rupanya masih mendambakan kerajaan "dari atas ke bawah" mengawal masyarakat, termasuklah mengawal sistem ekonomi itu sendiri.

Betapa, melanggan perspektif sendeng ini menjadi ironi kepada mereka yang rata-ratanya memekik "kedaulatan rakyat" tetapi dalam diam-diam menganut "kedaulatan kerajaan."

Gagasan “daripada rakyat untuk rakyat kepada rakyat” hanya mungkin terlaksana apabila kita meminimumkan peranan kerajaan. Ini boleh tercapai sekiranya kita membataskan kuasa kerajaan dalam ruang lingkup kuasa politik sahaja—sehingga kemuliaan ahli politik tidak lebih berbanding penjaja kecil.

Akan tetapi, sekiranya kita terus yakin bahawasanya kerajaan boleh menurunkan harga barang, ataupun percaya lewat demostrasi harga barang boleh diturunkan kerajaan, maka bererti kita sedang menyembah mitos "kerajaanlah yang mengawal selok-belok ekonomi."


AQIL FITHRI merupakan anggota kepada Diskopi, sebuah perkumpulan perbincangan yang berpangkalan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.