Skip to main
Logo Malaysiakini

15 peserta protes #Turun disoal siasat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lima belas individu daripada 26 yang menyertai protes #Turun dipanggil untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi hari ini.

Antara yang dipanggil termasuk Timbalan Presiden Muda Amira Aisya, Naib Presiden Muda Dr. Thanussha Francis Xavier, Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi, Ketua Muda Perak Muthalib Uthman.

Turut hadir untuk disoal siasat ialah pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri dan Tharmelinggam Pillai, pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, wakil Gabungan Gerakan Mahasiswa Rafiq Shahmie dan aktivis Bersih Edlyn Beverly Joeman.

Ketika bercakap kepada media selepas disoal siasat, Rafiq menyifatkan soal siasat itu sebagai suatu bentuk ugutan.

“Ini adalah satu bentuk ugutan terhadap kami, pelajar.

"Kami tidak akan membiarkan ini menghalang kami daripada menyuarakan pendapat kami mengenai isu kenaikan harga barang," kata Rafiq.

Ketika ditanya apa yang akan mereka lakukan sekiranya kerajaan tidak bertindak balas terhadap tuntutan mereka, Rafiq berkata bahawa mereka akan terus memperjuangkan lima tuntutan sebelum ini.

"Kami akan terus menuntut lima hak yang kami tuntut pada protes kami pada hari Sabtu," kata Rafiq.

Protes #Turun yang berlangsung pada 23 Julai lalu diadakan bagi membantah kenaikan harga barang dan pemansuhan subsidi yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini.

Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi berkata dia berharap kerajaan mendengar rayuan kumpulan itu.

“Saya harap kerajaan mendengar rayuan kami.

“Negara kita mempunyai kabinet terbesar di dunia, dan gaji menteri adalah berjuta-juta.

“Oleh itu, gaji kabinet harus dikurangkan untuk membantu isu kenaikan harga,” kata Amir hari ini.

Selain itu, Timbalan Presiden Muda Amira Aisya menjelaskan dia akan kembali ke balai untuk membuat laporan polis atas dasar gangguan seksual.

“Saya menyiarkan video dan di bawah catatan itu, terdapat banyak komen yang merupakan gangguan seksual.

“Saya ingin menjelaskan bahawa komen seperti ini tidak sepatutnya dinormalisasi, jadi saya cuba membuat laporan polis juga hari ini.

"Saya juga menyeru parlimen untuk menyegerakan pembentangan Akta Gangguan Seksual bagi mengelakkan perkara ini berulang," kata Amira.