MP Amanah persoal Nik Abduh pertahan usul lanjut subseksyen Sosma
Sidang Dewan Rakyat menjadi sedikit kecoh sekejap ketika Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS - Bachok) membahaskan usul menyokong pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) (Akta 747) untuk tempoh lima tahun lagi.
Kekecohan itu timbul apabila beberapa ahli parlimen dari parti serpihan PAS iaitu Amanah mencelah kerana tidak bersetuju dengan perbahasan Nik Abduh yang mempertahankan pelanjutan itu dengan mengaitkannya dengan Islam.
Dengan tajuk perbahasan “Adakah Sosma terkeluar daripada landasan keadilan Islam?", Nik Abduh memetik pandangan ilmuan Islam berhubung kebenaran hak kerajaan untuk menahan individu, berdasarkan beberapa kategori tertentu.
Ketika memberikan penjelasannya, Khalid Samad (PH - Shah Alam) mencelah dengan mempersoalkan proses yang sepatutnya dilaksanakan.
“Diamlah dulu,” balas Nik Abduh yang kemudiannya memberitahu agar mereka boleh berbahas lebih lanjut mengenai perkara itu di luar dewan, memandangkan masa perbahasan yang tidak panjang.
“Dalam perbahasan orang yang ditahan ini, ada tiga - dia ditahan dalam keadaan dia dikenali baik, misalnya katalah kita orang politik ini baik, ditahan. Ada perbincangan dia.
“Yang kedua, rakyat yang ditahan tidak dikenali baik atau buruk, ada hukumnya. Dan rakyat yang ditahan dan dikenali atas kejahatan dia, dia pernah ditahan atas hukuman.
“Saya nak ambil rakyat biasa yang ditahan, yang kita tak tahu dia ini baik atau jahat sebab dia ni orang biasa,” katanya lagi.
Nik Abduh memetik dua pandangan daripada ulamak dari mazhab Shafie, Abdullah al-Zubair berhubung tempoh penahanan berkaitan siasatan.
Menurut Nik Abduh, pandangan pertama menyatakan tempoh tahanan tidak boleh melebihi 30 hari.
“Maknanya dua hari lebih daripada 28 hari. Itu pandangan pertama.
“Pandangan kedua mengatakan kerajaan berhak untuk menahan untuk siasatan sebanyak hari yang dia nak, asalkan itu adalah demi kemaslahatan awam.
“Saya berhenti setakat itu, untuk menyatakan bahawa Sosma tidak keluar daripada landasan Islam,” katanya.
Khalid kemudian mencelah di penghujung perbahasan dengan mempersoalkan jika ia merupakan fatwa baru ahli parlimen PAS itu.
“Ini fatwa baru ya? Dulu lain, sekarang lain,” kata Khalid merujuk kepada pandangan PAS sebelum ini yang pernah membantah Sosma.
Beberapa pemimpin Amanah lain seperti Mohamad Sabu (PH - Kota Raja) dan Hanipa Maidin (PH - Sepang) kemudian turut berdiri untuk mencelah.
Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun bertindak menutup mikrofon dan meminta perbahasan diteruskan oleh ahli parlimen yang seterusnya.
Subseksyen 4(5) Sosma antaranya menyebut: seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari, bagi maksud penyiasatan.
Menurut Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, dalam tempoh siasatan, polis perlu mengkaji segala maklumat hasil siasatan serta mendapatkan maklumat dari agensi penguat kuasa lain, manakala kes merentasi sempadan pula memerlukan bantuan dari negara luar bagi tujuan pengumpulan maklumat dan permohonan berkenaan memerlukan masa yang lama.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul tersebut meskipun mendapat bantahan dan kritikan oleh pihak pembangkang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai