Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin tak boleh beri bukti tapi pertahan peggunaan Sosma isu LTTE

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mempertahankan keputusannya membenarkan polis menahan 12 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada 2019.

Bagaimanapun, apabila didesak oleh ahli parlimen pembangkang, dia tidak dapat memberikan bukti bahawa 12 individu itu mempunyai kaitan dengan LTTE - kumpulan yang sudah tidak berfungsi pada masa itu tetapi masih dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Malaysia.

Sebaliknya, Muhyiddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa keputusannya sebagai menteri dalam negeri pada masa itu diperlukan berdasarkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Pada masa itu, kami sedang mengkaji (undang-undang) tetapi kabinet tidak membuat sebarang keputusan... Apabila saya membuat keputusan... ia berdasarkan (hasil) siasatan polis.

"Saya tidak boleh nyatakan sama ada (ketua polis) pada masa itu berbohong atau tidak. Saya bertindak mengikut undang-undang dan (melaksanakan) tugas saya yang diamanahkan oleh kabinet," katanya lagi.

Muhyiddin berkata demikian semasa perbahasan usul pelanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Undang-undang ini membenarkan polis menahan suspek selama 28 hari.

Apabila tiba giliran Muhyiddin berdebat, RSN Rayer (PH-Jelutong) berulang kali meminta bukti untuk menunjukkan bahawa mereka yang didakwa itu mempunyai kaitan LTTE memang terlibat dengan aktiviti keganasan dan sekali gus mewajarkan penggunaan Sosma.

Dakwaan digugurkan

Antara 12 individu itu ialah dua ahli politik DAP - G Saminathan, yang merupakan Adun Gadek ketika itu, dan P Gunasekaran, yang kini Adun Seremban Jaya.

Mereka didakwa di mahkamah pada 12 Okt 2019, kerana dikatakan menyokong LTTE. Pertuduhan telah digugurkan pada Februari 2020 oleh peguam negara ketika itu Tommy Thomas.

Dalam memoir Thomas - "My Story: Justice in the Wilderness" - dia menulis bahawa Muhyiddin tidak berpuas hati apabila pertuduhan terhadap 12 individu itu digugurkan dan kemudiannya melobi perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad untuk campur tangan.

“Saya memberi taklimat kepada perdana menteri sehari sebelum siaran media.

"Mahathir berpuas hati dengan penjelasan saya bahawa memandangkan tiada prospek realistik pensabitan bagi mana-mana daripada 12 tertuduh, menggugurkan pendakwaan masuk akal. Dia berpuas hati untuk menyerahkan keputusan undang-undang kepada saya," tulis Thomas.

[Baca berita asal]