Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan Tajuddin mencarut: MP diarah keluar Dewan Rakyat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) diarah keluar daripada Dewan Rakyat selepas dia enggan menerima keputusan berhubung Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang didakwa membuat kenyataan seksis.

Timbalan speaker Rashid Hasnon memberi penjelasan berhubung surat yang dihantar Kasthuri awal minggu ini yang menggesa tindakan diambil terhadap Tajuddin.

Rashid kemudian memutuskan kata-kata Tajuddin itu tidak direkodkan dalam Hansard. Ia mencetuskan bantahan daripada Kasthuri yang kemudian menyebabkan dia diarahkan keluar daripada sidang.

Tajuddin yang diberi masa dua minit untuk menjelaskan perkara itu menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai percubaan untuk menjatuhkan imejnya.

"Saya bantah sekerasnya dan nafi tuduhan daripada Batu Kawan dan yang lain yang mahu jatuhkan imej saya,” katanya.

Difahamkan Tajuddin dikenakan tindakan gantung Parlimen selama dua hari - hukuman yang menurut Rashid bermula Rabu lalu setelah dia mengarahkan Tajuddin untuk keluar dewan.

Namun, tidak jelas bila hari kedua penggantungan akan dilaksanakan.

Harian Metro melaporan Tajuddin hadir di Dewan Rakyat pada hari berikutnya.

Pertikaman lidah antara Kasthuri dan Rashid tercetus sebelum dia diarahkan keluar dewan.

Ketika itu, Rashid menegaskan keputusan telah dibuat dan memberi dua amaran kepada Kasthuri.

"Saya sudah buat keputusan," katanya.

Namun, keengganan Kasthuri untuk kembali ke tempat duduknya menyebabkan Rashid mengarahkannya untuk keluar dari sidang.

Ia mencetuskan bantahan beberapa wakil rakyat pembangkang, antaranya Teo Nie Ching (PH-Kulai) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

Ditemui kemudian, Kasthuri mengkritik keputusan yang dibuat Rashid dan mengatakan ia akan terus membolehkan ahli parlimen menggunakan kata-kata kecaman di Parlimen.

"Tiada guna bercakap tentang Parlimen kelas dunia apabila anda tidak mampu menegur seorang MP untuk menarik balik dan memohon maaf kerana gunakan kata-kata kasar di Parlimen, berulang kali.

"Ketika Pasir Salak gunakannya kepada kami, mungkin dia tahu yang tiada tindakan diambil terhadapnya. Tapi hari ini, saya diarah keluar kerana desak permohonan maaf dan kata-kata itu ditarik balik tapi Pasir Salak - yang gunakan kata-kata kasar selama tiga kali - tidak dikenakan tindakan.

"Dia terus berada dalam dewan sementara saya diarah keluar," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Kasthuri akan jumpa speaker

Semalam, Rashid mengesahkan ada menerima surat Kasthuri dan akan membuat keputusan sama ada perlu menghukum Tajuddin atau tidak, hari ini.

Pada 20 Julai lalu, Tajuddin didakwa menggunakan perkataan “p*****k” di Dewan Rakyat Rabu lepas.

Ditanya jika apa yang boleh dilakukan untuk membantah keputusan itu Kasthuri berkata dia tidak pasti berapa lama dia dilarang masuk ke Dewan Rakyat.

"Jika saya dibenarkan masuk esok, saya akan masuk. Saya akan jumpa speaker untuk beritahu yang saya amat kecewa kerana speaker menyerahkan perkara ini kepada timbalan speaker.

"Jadi apabila timbalan speaker gagal jalankan tugasnya, ia sama seperti speaker (yang gagal).

"Kita semua bergantung kepada speaker untuk panduan, keputusan dan untuk menetapkan (peraturan berkenaan) bahasa di dewan. Dia telah gagalkan Parlimen secara keseluruhannya," katanya lagi.

[Baca berita asal]