Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak bekas presiden ingatkan PAS - Islam larang cenderung kepada perkara zalim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang, Faiz Fadzil mengingatkan bekas partinya, PAS bahawa Islam melarang umatnya daripada cenderung kepada perkara yang zalim.

Merujuk kepada tindakan PAS yang menyokong pelanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma selama lima tahun lagi, katanya, undang-undang itu bertentangan dengan hak dan kebebasan individu.

“Tindakan PAS menyokong RUU Sosma hari ini adalah tindakan pelik kerana PAS mendakwa akta ini haram kerana tidak mengikut keadilan Islam.

“Tetapi hari ini PAS menukar fatwanya dengan berlapikkan dalil. Saya bimbang Islam dilihat rapuh kerana dengan sikap PAS sebegini yang flip flop dengan hukum Islam.

“Islam melarang kita cenderung kepada perkara yang zalim,” katanya dalam satu kenyataan.

Anak bekas presiden PAS itu, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, berkata, Sosma adalah satu undang-undang statute yang zalim dan drakonian kerana peruntukannya tidak memberikan kebebasan kepada seseorang individu yang ditahan seperti mana undang-undang lazim.

Sebagai contoh, katanya, Sosma membenarkan tahanan untuk siasatan polis selama 28 hari berbanding 14 hari dalam undang-undang lazim (Kanun Prosedur Jenayah-CPC).

Selain itu, akses kepada peguam juga dinafikan sepanjang tempoh penahanan 28 hari tersebut sementara menunggu bicara pula, individu tersebut tidak boleh dijamin dan perlu berada dalam penjara.

“Sedangkan di bawah undang-undang lazim, boleh diikat jamin bergantung kepada kesalahan.

“Semasa bicara pula, keterangan yang salah (inadmissible) dalam undang-undang lazim juga dianggap boleh diterima. Peruntukan ini amat tidak adil kepada individu tersebut,” katanya.

Lanjutan Sosma itu diluluskan walaupun mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.

Pembangkang gagal dalam usaha menyekat usul berkenaan semasa undi belah bahagi apabila seramai 111 ahli parlimen mengundi menyokong, termasuk undi daripada wakil rakyat PAS. Sebanyak 88 mengundi menentang, manakala 21 lagi tidak hadir.

Sebelum ini, PAS lantang menentang undang-undang berkenaan