Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda Umno dakwa Zahid jadi mangsa pendakwaan terpilih

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan Mohd Zaidy Abdul Kadir mahu satu jawatankuasa khas dan bebas ditubuhkan bagi menyiasat beberapa pendedahan terbaharu yang disebut dalam mahkamah tinggi semalam semasa perbicaraan rasuah sistem visa membabitkan Pesiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ini perlu supaya keadilan dapat ditegakkan sekali gus dapat merungkai persoalan rakyat mengenai kes ini.

“Jika semua yang dikatakan menerima dana itu bersalah, dakwalah mereka semuanya dan bukannya bersifat memilih dalam pendakwaan.

“Janganlah hanya kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu musuh politik sesetengah parti, beliau diperlakukan begitu. Adakah itu keadilan yang kita mahukan?” katanya menerusi satu kenyataan.

“Mereka cuba menanam persepsi kepada rakyat kononnya hanya presiden Umno inilah yang paling teruk dan korup. Sudah terang lagi bersuluh, pendakwaan terpilih ini dilakukan semata-mata kerana mahu membunuh kredibiliti Ahmad Zahid, kata Zaidi.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan, dalam keterangannya semalam, menamakan beberapa lagi ahli politik yang didakwanya turut menerima sumbangan politik daripada syarikat itu, berdasarkan rekod yang disimpan dalam lejar rahsia dengan pelbagai kod nama.

SPRM telah mengeluarkan kenyataan sejurus selepas nama dalam lejar itu didedahkan, dengan berkata mereka akan membuka siasatan lanjut.

Individu yang dinamakan atau dikaitakan, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri pengangkutan Chan Kong Choy, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Warisan Shafie Apdal dan Ketua Penerangan BN Shahril Hamdan. Semua mereka secara berasingan menafikan menerima sebarang wang daripada UKSB.