RUU antilompat parti: Permulaan baik tapi masih ada kekurangan
PARLIMEN | Meskipun menganggap rang undang-undang (RUU) berkenaan antilompat parti yang dibentangkan hari ini suatu permulaan yang baik, Ketua Pembangkan Anwar Ibrahim berkata pihaknya tidak dapat bersetuju dengan keseluruhan cadangan tersebut.
Kata Anwar, hal itu kerana RUU berkenaan tidak memperuntukkan isu siasatan atau tindakan terhadap ahli-ahli parlimen atau Adun yang keluar parti dengan dijanjikan habuan seperti wang ringgit serta kedudukan.
“Kalau ini dibenarkan berlaku, orang yang 'maha kaya' dan 'maha berkuasa' boleh menentukan corak kerajaan semata-mata (dengan) wang ringgit mereka, ataupun kerana kuasa yang ada pada mereka dan janji politik yang tak ada honour,” katanya semasa membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah ahli parlimen Port Dickson itu lagi, jika ditanya sama ada pembangkang bersetuju sepenuhnya dengan RUU tersebut atau tidak, maka ketetapan yang dibuat ialah tidak.
Kata Anwar RUU berkenaan tidak memenuhi prinsip integriti bagi mengelak daripada kemungkinan berlakunya seseorang wakil rakyat melompat parti ni.
Pun begitu, tambah presiden PKR berkenaan, dalam keadaan sedia ada pembangkang menganggap ia permulaan yang sangat baik.
"Ia satu percubaan untuk mengelakkan ke arah tendency authoritarianism apabila seseorang yang berkuasa atau (ada) cubaan untuk membolot kuasa secara tipu helah,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata isu pembelotan, pengkhianatan atau lompat parti harus diberi perhatian oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia biasanya melibatkan sogokan dan penipuan.
“Kita mahu gunakan pindaan ini untuk bertanya SPRM, mengapa janji sogokan jawatan dan sogokan wang berjuta-juta ringgit dipadamkan dan tidak disiasat?
“Jadi pindaan perlembagaan ini memberikan gambaran bahawa ada sesuatu yang salah. Kalau tak, kenapa nak pinda perlembagaan? Kenapa nak hentikan cerita khianat, belot dan tipu ni? Kerana isu maruah dan integriti ahli parlimen, janji kepada rakyat.
“Kemudian tukar, tukar (parti). Tukar tu atas alasan apa? Alasan wang, alasan jawatan yang dijanjikan, dan yang menerima wang harus disiasat dan sehingga hari ini belum ada siasatan,” katanya.
Langkawi juga tandatangan sokong
Ketika perbahasannya itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Edmund Santhara Ramanaidu bertanya kepada Anwar sama ada dia bersetuju bahawa masalah dalaman sesebuah parti boleh menyebabkan terdapat individu mengambil keputusan memilih parti lain.
Santhara turut menyangkal kenyataan Anwar berhubung sogokan wang dan menafikan semua wakil rakyat yang bertindak keluar parti sebelum ini menerima habuan.
Untuk rekod ahli parlimen Segamat itu adalah antara wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti itu pada penghujung Feb 2020 dalam insiden dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Ekoran tindakan tersebut kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan sebelum diganti oleh gabungan Perikatan Nasional-BN yang naik tanpa melalui pilihan raya.
Selepas meninggalkan PKR, Santhara dilantik menjadi timbalan menteri Wilayah Persekutuan sebelum dipindahkan ke kementerian sekarang apabila Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Menurut Anwar hujah yang diberikan Santhara adalah "tidak munasabah".
“Alasan yang diberikan oleh YB Segamat (Santhara) itu bagi saya tidaklah munasabah kerana apapun pergolakan dalam parti, yang berlaku semuanya itu tak mengundang pengkhianatan.
“Ia boleh mengundang bantahan atau keluar bantah, boleh. Tapi ini pakatan pengkhianatan," katanya.
Mengenai soalan lain Santhara, Anwar mengakui semasa menjadi perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) melengah-lengahkan peletakan jawatannya dalam kerajaan PH.
"(Dakwaan Santhara) Itu saya terima. Tapi mesti juga terima (hakikat) bahawa apabila diusulkan nama saya (sebagai calon perdana menteri selepas kejatuhan PH), akhirnya Langkawi (Mahathir) tandatangan menyokong,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai