Skip to main
Logo Malaysiakini

MP dakwa bekas AG salah guna kuasa tutup siasatan ke atas Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago hari ini membuat laporan polis terhadap bekas peguam negara (AG) Mohamed Apandi Ali berhubung dakwaan salah guna kuasa menutup siasatan kes penyelewengan dana berkaitan SRC International dan 1MDB.

Charles, yang sebelum ini membuat laporan di jabatan polis daerah Klang Selatan, dalam satu kenyataan menuduh Apandi berniat untuk melepaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada berdepan pertuduhan rasuahnya.

Dalam membuat laporannya, Charles memetik penghakiman 23 Mei yang disampaikan oleh hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar dalam menolak saman fitnah yang difailkan oleh Apandi terhadap pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

"Dalam penghakimannya, Azimah menyatakan bahawa delegasi Apandi “tidak berjumpa mahupun bercakap dengan pihak yang didakwa sebagai penderma” walaupun berkata sebaliknya pada sidang media pada 26 Jan 2016.

“Pada sesi akhbar itu, Apandi mengumumkan delegasi telah ke Riyadh dan berjumpa dengan pihak yang dikatakan penderma,” kata Charles.

"Dia kemudiannya membersihkan Najib daripada sebarang salah laku, dan mengesahkan bahawa RM42 juta dalam akaun Najib adalah derma daripada seorang putera Arab Saudi. Ini adalah pembohongan terang-terangan," kata ahli parlimen DAP itu.

Dalam penghakiman setebal 100 muka surat yang dikeluarkan pada 21 Julai, Azimah menyatakan bahawa adalah sangat jelas bahawa Apandi menunjukkan sikap tidak berminat dan ada kala memberi kenyataan bertentangan dalam keterangannya.

Selain sikap tidak berminat, kata hakim itu, bekas peguam negara tersebut tidak kisah ambil terhadap kedaulatan undang-undang yang asas dan akal yang wajar (common sense).

Berdasarkan pertimbangan dan pemerhatian Azimah, Charles berkata beliau berpendirian bahawa Apandi telah mereka-reka maklumat dan berbohong semasa memegang jawatan, yang membawa kepada penyalahgunaan kuasanya sebagai penasihat undang-undang utama negara.

“Saya dengan ini membuat laporan polis ini supaya siasatan boleh dimulakan terhadap Apandi” katanya.

Peguam John Fam, yang menemani Charles, menegaskan bahawa komen Azimah dibuat berdasarkan keterangan Apandi dan kenyataan itu yang diberikan di bawah sumpah dan oleh itu tidak akan disalah sebut.

Sambil mengakui bahawa seorang peguam negara mempunyai budi bicara mutlak untuk meneruskan pertuduhan atau sebaliknya, Fam menegaskan Apandi telah mereka bukti untuk membersihkan Najib.

“Tidak syak lagi, kesalahan jenayah tidak mempunyai had tempoh masa.

"Jadi selepas perbincangan, YB (Charles) sebagai Ahli Parlimen Klang, membuat laporan polis dan kami menggesa polis untuk menyiasat," kata peguam itu.