Gempa bumi kuat gegar Filipina
GLOBAL | Gempa bumi berukuran tujuh pada skala Richter yang menggegarkan Pulau Luzon, Filipina pada pagi Rabu mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan kira-kira 60 yang lain, lapor Xinhua, memetik Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Benhur Abalos.
Abalos berkata dua yang maut adalah dari Benguet masing-masing seorang dari Abra dan Wilayah Mountain manakala kebanyakan mangsa yang cedera dilaporkan dari Abra.
Katanya, gempa itu turut mencetuskan hampir 60 tanah runtuh serta menyebabkan lebuh raya dan jalan raya di wilayah utara Filipina tidak dapat digunakan. Sekurang-kurangnya tiga jambatan rosak di Abra, yang menjadi pusat gempa.
Gegaran itu turut menjejaskan 15 wilayah, 15 bandar, 218 majlis perbandaran dan 6,756 kampung di utara Filipina.
Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) gempa bumi dengan kekuatan tujuh pada skala Richter menggegarkan wilayah Abra di utara Filipina pada 8.43 pagi waktu tempatan (0043 GMT).
Pusat gempa terletak di bandar Tayum, dengan kedalaman 17 kilometer. Gegaran turut dirasai di kebanyakan kawasan di Pulau Luzon, termasuk Metro Manila selain beberapa wilayah lain antaranya di Ilocos Sur, Pangasinan, Nueva Vizcaya, Bulacan, Laguna dan Cavite.
Setakat 1 tengah hari waktu tempatan (0500 GMT), PHIVOLC Stelah merekodkan sekurang-kurangnya 120 gegaran susulan di wilayah utara.
Pihak berkuasa bencana tempatan Baguio City yang juga terletak di utara Filipina memaklumkan Kennon Road, jalan utama yang menghubungkan bandar raya itu dan Manila, ditutup sementara dan kerosakan sedang dinilai.
Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos dalam satu sidang media berkata beliau akan menangguhkan lawatannya ke wilayah yang terjejas itu pada Khamis. Marcos telah menghantar Setiausaha Kebajikan Masyarakat Erwin Tulfo ke wilayah yang dilanda gempa bumi untuk membantu mangsa.
Ketua PHIVOLCS Renato Solidum memberi amaran gempa tektonik akan mencetuskan gegaran susulan dan boleh menyebabkan kerosakan seperti tanah runtuh.
Beliau menggesa rakyat dan kerajaan tempatan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Filipina mempunyai aktiviti seismik yang kerap kerana lokasinya di sepanjang "Ring of Fire" Pasifik.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai