Potong gaji menteri: Rafizi anggap Annuar bongkak
Bongkak - begitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menanggapi Annuar Musa selepas Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berhujah mengenai isu memotong gaji menteri.
Kata Rafizi, walaupun Annuar berpendapat tiada negara yang berjaya menangani isu inflasi dengan memotong gaji menterinya, ahli parlimen Keterh itu terlupa sesuatu.
Menurut Rafizi, di negara selain Malaysia, layanan yang diberikan rakyat kepada menteri yang gagal menguruskan ekonomi dan menyusahkan orang ramai jauh lebih keras berbanding memotong gaji.
"Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan," katanya.
Justeru menurut Rafizi, Annuar perlu sedar bahawa desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji bukanlah untuk mengurangkan harga barang.
Langkah tersebut, tambahnya, adalah perlambangan keinginan rakyat untuk melihat beberapa perkara termasuk sebagai isyarat menteri-menteri di negara ini gagal menjalankan tugas masing-masing bagi menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga barang tidak terkawal serta menekan orang awam.
Potongan gaji menteri juga, katanya, memaklumkan kepada rakyat bahawa menteri-menteri turut sensitif terhadap kepayahan yang dialami orang awam dan menjadi suatu bentuk solidariti terhadap kepayahan yang ditanggung.
"Pemotongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali daripada langkah penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam.
"Jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama," katanya hari ini.
Kenaikan kos sara hidup sejak akhir-akhir ini menjadi antara tekanan yang dialami orang ramai dan ada desakan agar gaji anggota kabinet dipotong. Tunjuk perasaan bagi menyuarakan tekanan itu juga diadakan.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz turut mencadangkan gaji menteri dipotong sebagai tanda empati kepada rakyat yang bergelut dengan keadaan semasa ekonomi.
Ambil masa berbulan-bulan
Bagaimanapun Annuar mencabar pengkritik agar menamakan negara yang berjaya menurunkan kadar inflasi setelah melaksanakan langkah seumpama itu.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia membayangkan walaupun gaji setiap menteri dipotong, jumlah penjimatan itu tetap tidak memadai untuk mengubah keadaan.
"Tolonglah, jangan main politik," kata Annuar pada 25 Jul lalu.
Sehari kemudian Naib Presiden Umno Khaled Nordin tampil menempelak Annuar dengan berkata walaupun inflasi tidak boleh diturunkan dengan memotong gaji menteri, langkah tersebut sekurang-kurangnya menunjukkan anggota kabinet faham akan kesusahan rakyat.
“Lupakah pengajaran yang kita dapati dari kewajipan berpuasa,” katanya.
Menurut Rafizi perlu ada lebih ramai pemimpin dan orang ramai mendesak agar menteri di negara ini mengambil potongan gaji sebagai langkah menguruskan "keangkuhan" Annuar.
Jika tidak, kata Rafizi, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil masa berbulan-bulan untuk membuat keputusan.
Setelah ada keputusan, katanya, masa berbulan-bulan lagi digunakan untuk melaksanakan ketetapan tersebut.
"Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang ‘kena’ pada poket menteri, barulah mereka sedar terhadap keutamaan (urgency) untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai