Skip to main
Logo Malaysiakini

Bina 'tugu katak' kenang MP lompat parti di parlimen - Lim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Apabila undang-undang anti-lompat telah diluluskan nanti, Ahli Parlimen Kepong Lim Lim Eng mencadangkan supaya didirikan dinding kemasyhuran "katak" di Dewan Rakyat sebagai peringatan kepada tindakan ahli politik yang berpaling tadah.

Dia berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di parlimen hari ini.

"Sekiranya RUU ini sudah diluluskan di dewan mulia ini, saya cadangkan satu 'wall of katak', wall of (dinding kemasyhuran bagi) ahli parlimen yang telah lompat untuk dibinakan di parlimen ini untuk mengingati tindakan mereka.

"Ini rekod sejarah, seperti pergi ke muzium," katanya kepada pemberita di luar Dewan Rakyat ketika ditanya mengenai saranannya itu.

Dia menegaskan sejak Langkah Sheraton pada Februari 2020, beberapa siri ahli parlimen berpaling tadah telah membawa kepada dua perubahan kerajaan persekutuan, yang akhirnya mendorong undang-undang antilompat dibentangkan di parlimen.

"Apabila undang-undang digubal, kejadian berpaling tadah seperti itu akan menjadi sejarah.

"Walaupun mereka melompat, tiada nilai (dalam tindakan itu)," katanya.

Langkah Sheraton merujuk majlis makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, untuk memperingati penjajaran politik baru.

Sebelas ahli parlimen diketuai Mohamed Azmin Ali berpaling tadah keluar PKR, mengakibatkan kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan.

Di bawah pindaan perlembagaan yang sedang dipertimbangkan di Dewan Rakyat, ahli parlimen akan kehilangan kerusi mereka jika mereka keluar parti atau berhenti menjadi ahli. Pilihan raya mesti berlaku dalam masa 60 hari untuk menggantikan ahli parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, mereka masih boleh mengekalkan kerusi mereka jika mereka dipecat daripada parti mereka, jika parti mereka dibubarkan atau bergabung jika mereka masih berparti, atau jika mereka meletakkan jawatan untuk menjadi speaker Dewan Rakyat.

Mereka juga boleh mengekalkan kerusi mereka jika seluruh parti mereka keluar daripada gabungan untuk menyertai atau membentuk gabungan lain.

Senator dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak terjejas oleh pindaan itu, walaupun Ahli Parlimen Pengerang dan ketua penyokong pindaan itu Azalina Othman memberi amaran kepada kerajaan negeri bahawa mereka menghadapi risiko ketidakstabilan politik jika undang-undang serupa tidak digubal di peringkat negeri.