Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa hadkan pekerja asing dari 15 negara saja? - bekas menteri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kedudukan terendah dalam Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) untuk dua tahun berturut-turut menuntut Malaysia membuat perubahan besar dalam proses pengambilan pekerja asing, kata M Kulasegaran.

"Masalah besar yang kita hadapi sekarang ialah ketetapan kerajaan yang hanya membenarkan pengambilan pekerja asing daripada negara-negara sumber sahaja.

"Saya rasa ini tidak adil. Majikan yang membuat pelaburan. Maka, majikan harus mempunyai kuasa membawa pekerja asing daripada negara yang dianggap sebagai sesuai kepada mereka,” kata bekas menteri sumber manusia itu.

Mengakui terdapat keterbatasan seperti dengan negera yang tiada hubugan diplomas seperti Korea Utara, Kulasegaran berkata dia tidak faham kenapa negara seperti China, India dan Vietnam tidak dibenarkan membawa masuk pekerja asing.

Pekerja kilang di Petaling Jaya, gambar hiasan

Malaysia, ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kekal di Tier 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2022.Malaysia gagal memenuhi piawaian minimum sejak 2021, bersama-sama 10 negara lain, termasuk jirannya di Asia Timur serta rantau Pasifik, China dan Myanmar.

Laporan pada Julai 2022 itu menyatakan bahawa Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum untuk penghapusan pemerdagangan orang dan tidak melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian.

‘Penghambaan moden masih ada?’

Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, Kulasegaran berkata kerajaan perlu mengakui bahawa mengambil pekerja asing hanya daripada negara sumber tidak membawa hasil.

“Mengapa penghambaan moden (dan) kes kematian masih ada? 

"Jadi, itu bermakna sistem anda dan cara mengendalikan tidak sesuai," katanya.

Ahli parlimen Ipoh Barat mencadangkan Malaysia berubah kepada sistem aliran bebas seperti diamalkan di beberapa negara maju dan Timur Tengah.

"Mengapa kita tidak melakukannya?” soalnya.

Pada 19 Julai kerajaan mengumumkan akan membuka pengambilan pekerja asing daripada 15 negara dalam tiga sektor ekonomi - pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin membuat pengumuman itu susulan keputusan Indonesia untuk membekukan sementara kemasukan pekerjanya ke Malaysia atas dakwaan berlaku pelanggaran memorandum persefahaman pekerja domestik yang dimeterai baru-baru ini.

Menurut laman web Kementerian Dalam Negeri, negara sumber pekerja asing itu ialah Kemboja, Bangladesh, India, Indonesia, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Thailand, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhtan.

Ada monopoli?

Ditanya kenapa Malaysia tidak bersedia untuk sistem aliran bebas, Kulasegaran mendakwa pengambilan pekerja asing dimonopoli oleh golongan tertentu.

"Apabila kerajaan mengatakan kelulusan pekerja asing boleh diberikan dalam tujuh hari tiada siapa percaya. Sebab semua tahu ia tidak berlaku.

"Jika, anda mempunyai 'orang dalam' maka anda boleh mendapat kelulusan. Penggunaan ejen dalam pengambil pekerja asing masih meluas. 

"Menteri mesti ada kemahuan politik. Persoalannya adakah terdapat keutamaan khusus untuk membuat wang untuk parti politik dengan monopoli pengambilan pekerja asing," katanya.

Malaysiakini sedang cuma mendapatkan maklum balas Menteri Sumber Manusia M Saravanan susulan dakwaan monopoli itu.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada 26 Januaru lalu menafikan wujud sindiket atau monopoli dalam pelantikan Agensi Pengambilan Pekerja Bangladesh (BRA) susulan perjanjian pengambilan sejuta pekerja Bangladesh dalam tempoh lima tahun antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Kulasegaran berkata keengganan kerajaan melonggarkan pengambilan pekerjsa asing mengakibatkan majikan terus menderita.

"Ada laporan mengatakan tahun lepas sahaja dianggarkan kerugian RM28 bilion dalam industri sawit kerana kekurangan pekerja asing. 

"Saya melihat sendiri di beberapa ladang. Bajak yang sepatutnya dibajak tahun lepas, baru digunakan sekarang," katanya.