Skip to main
Logo Malaysiakini

Rumah PR1MA: Tajuddin minta kerajaan 'think business sikit'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Bimbang dengan jumlah unit rumah PR1MA yang tidak terjual, Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) meminta kerajaan mempertimbangkan harga lebih rendah untuk memudahkan orang ramai memiliki rumah itu.

Dalam soalan tambahannya kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tajuddin mempersoalkan jumlah sebenar unit PR1MA yang tidak terjual dan berapakah nilai pasaran bagi keseluruhan unit yang tidak terjual itu.

Dia turut bertanya mengenai kadar bunga yang ditanggung oleh PR1MA sekiranya unit-unit itu tidak terjual selama empat hingga lima tahun.

“Kalau ia tak terjual empat, limat tahun, what’s the cost of interest? Beratus juta interest cost (kos bunga) yang terpaksa ditanggung oleh PR1MA.

“Daripada menanggung kos itu, lebih baiklah dijual dengan murahnya rumah-rumah itu.. Tak adalah pihak PR1MA nak menanggung interest cost.

“Kalau katakan tadi RM2 bilion at 10 percent a year, maknanya RM200 juta. Kalau lima tahun RM1 bilion interest cost.

"Kalau dijual lebih awal dengan harga yang murah, semua interest tu terselamat daripada pihak PR1MA atau kerajaan (tanggung). Think business sikitlah,” katanya.

Menjawab soalan bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abd Muttalib, berkata setakat ini unit sudah terjual berbanding 10,386 yang belum.

Berdasarkan keadaan semasa, katanya, kadar nilai pasaran rumah berkenaan ialah RM2 bilion.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Mohd Redzuan Md Yusof (PN- Alor Gajah) yang mencelah dengan membangkitkan isu sama di kawasannya dan kelihatan terabai.

Kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, di Alor Gajar, projek rumah PR1MA sudah siap selama lima tahun namun belum terjual.

"Tingkap dah hilang, pintu dah hilang, dan sebagainya hilang. Ini menanggung kos seperti yang disebutkan tadi.

“Apakah rancangan kerajaan untuk memastikan orang yang sepatutnya menerima kediaman yang selesa? Apakah rancangan kita untuk (elakkan) unit ada tapi tak ada orang?” soalnya.

Sebagai respons kepada soalan Tajuddin berhubung kadar bunga yang ditanggung dan soalan Redzuan itu, Ismail menyatakan usaha kerajaan bagi mengatasi masalah rumah tidak terjual itu melalui program sewa beli (rent-to-own).

“Kita akan terus agresifkan tindakan,” katanya.