Skip to main
Logo Malaysiakini

Politik Malaysia gagal dipisahkan dari perkauman - Dr M

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dr Mahathir Mohamad berkata, negara ini tidak mampu membentuk kerajaan yang kuat kerana politiknya masih lagi berlegar di sekitar perkauman.

Bekas perdana menteri itu menjelaskan faktor kaum masih memainkan peranan yang besar di negara ini kerana kebanyakan orang memilih wakil rakyat berdasarkan bangsa sendiri.

Pada masa sama, katanya, orang politik juga terpaksa mengambil kira faktor berkenaan untuk memenangi pilihan raya.

"Perkauman di Malaysia tidak boleh diketepikan oleh orang politik jika ingin menang. Sebab itu kita tidak boleh bentuk kerajaan yang kuat," katanya.

Ahli parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan m,eja bulat Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu di Seri Kembangan, hari ini.

Mengulas lanjut Mahathir berkata dalam keadaan sekarang, sesebuah parti politik Melayu tidak boleh mencipta kemenangan tanpa mendapat sokongan bukan Melayu.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan parti terbabit kesukar untuk menjayakan agenda Melayu.

Pada masa sama Mahathir mengakui kewujudan banyak parti Melayu juga menjejaskan usaha berkenaan walaupun orang Melayu membentuk 70 peratus dariada keseluruhan penduduk negara ini.

Situasi itulah, katanya, menyaksikan parti politik Melayu terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk menang dan membentuk kerajaan.

"Ini yang menjejaskan (usaha) untuk melaksanakan apa yang orang Melayu mahukan.

"Kalau 70 peratus (orang Melayu) sokong satu parti, kita kuat. Sekarang ini nak dapat dapat 30 peratus sokongan (pengundi Melayu) pun susah.

"Kita bergantung kepada undi bukan Melayu sehingga terpaksa akur kepada kehendak mereka," katanya lagi.

Bagaimanapun Mahathir mengakui bahawa bukan Melayu juga mempunyai kuasa politik di negara ini.

Untuk rekod Mahathir merupakan presiden Umno sebelum bertindak keluar parti itu dan menubuhkan Bersatu bersama Muhyiddin Yassin.

Namun, selepas berlaku pergolakan dalam Bersatu, Mahathir diketepikan daripada parti berkenaan sebelum menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kini dipengerusikannya.

Mengulas lanjut mengenai rang undang undang (RUU) bagi menghalang ahli parlimen melompat parti, Mahathir berkata Pejuang menolak sebarang perbuatan melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat.

Katanya, Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih berdasarkan mandat rakyat ditumbangkan oleh pihak tertentu telah mencalar demokrasi negara.

Justeru, jelasnya, RUU antilompat parti diharap mampu memulihkan demokrasi negara demi memastikan mandat rakyat terpelihara.