Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir Baling: 58 orang dibawa ke pusat pemindahan sementara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seramai 58 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Mukim Kupang di Baling, semalam.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Lt Pertahanan Awam Dzulhaidy Mohd Khalil berkata mereka terdiri daripada 19 keluarga dari Kampung Padang Empang.

"Kesemuanya ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang yang dibuka pada 9 malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulhaidy berkata hujan lebat kira-kira tiga jam bermula pada 2 petang semalam telah menyebabkan air Sungai Kupang melimpah dan memasuki kawasan penempatan penduduk khususnya yang terletak berhampiran sungai.

"Hujan turun berterusan dan air sungai semakin meningkat, bahkan laluan jambatan Bailey di Kampung Iboi juga telah ditutup kepada semua kenderaan malam tadi kerana air telah naik melepasinya," katanya.

Menurut Dzulhaidy cuaca di kawasan berkenaan pada pagi ini adalah cerah namun pemantauan di kawasan terjejas terus dilakukan dari semasa ke semasa.

Beberapa kampung di Kupang, di Baling dilanda banjir kilat manakala arus deras dilaporkan berlaku di Sungai Kupang kira-kira 5 petang semalam dan malam tadi yang menyebabkan limpahan air ke kawasan penempatan penduduk.

Pada 4 Julai lepas, beberapa kampung di Kupang dilanda banjir dan kejadian kepala air yang turut meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil empat bulan.

- Bernama