Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada pihak mula 'serang' program H20K PAS Pahang - Adun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS Pahang berkata, rancangan mereka untuk mengadakan Himpunan Hijau 3.0 (H20K) anjuran di Pantai Sepat dekat Kuantan pada hujung minggu ini bukan bertujuan untuk membuka medan menyerang mana-mana pihak.

Ketua penerangannya, Mohd Tarmizi Yahaya, menegaskan program H20K itu lebih kepada usaha himpunan ahli dan penyokong PAS sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Namun katanya PAS Pahang mendapati dalam keadaan sebegitu pun sudah ada pihak tertentu yang menyerang mereka dengan pelbagai tuduhan.

"Program ini bukan PAS nak attack sesiapa... tak ada langsung, tapi ada dah orang 'serang' program kami .

"Dah ada orang kata program ini nak tukar kerajaan, nak jatuh kerajaan... benda itu tak betul kerana himpunan ini tujuannya untuk menguatkan jentera, nak bagi semangat supaya ahli PAS bersiap sedia menghadapi PRU ke-15 yang sangat dekat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuantan hari ini.

Bagaimanapun Mohd Tarmizi tidak menjelaskan lebih lanjut siapa pihak yang dimaksudkan itu.

Program himpunan H20K asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Felda Jengka, dekat Maran selepas permohonan PAS untuk menggunakan kemudahan milik Felda itu diluluskan pada 1 Julai.

Pemimpin pusat berucap

Bagaimanapun pihak pengurusan Felda membatalkan tempahan tersebut pada 6 Julai. Keadaan itu mendorong PAS Pahang menukar lokasi program tersebut ke Pantai Sepat, tidak jauh dari Kuantan.

Mohd Tarmizi yang juga Adun Panching memberitahu, penganjuran H20K juga bertepatan dengan suasana politik semasa memandangkan hampir semua parti sudah mengadakan perjumpaan dengan ahli mereka di peringkat akar umbi.

"Ia (H20K) macam motivasi dan nak menaikkan semangat untuk mereka (ahli dan penyokong Pas) bersiap siaga berdepan PRU ke-15," katanya.

Pada sebelah pagi, kata Mohd Tarmizi ada banyak acara riadah seperti bola sepak pantai dan program bersesuaian untuk golongan wanita dilangsungkan, manakala pada sebelah malam ada ceramah yang bermula jam 9.

Turut diadakan katanya jualan kebajikan sebanyak 1,000 ekor ayam ditawarkan kepada pengunjung dengan harga RM10 setiap satu.

Mohd Amar Abdullah

Mohd Tarmizi yang juga penyelaras H20K memaklumkan tiga pemimpin akan menyampaikan ceramah pada malam berkenaan iaitu Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar yang merupakan Adun Tanjung Lumpur; diikuti Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah; dan diakhiri dengan ceramah Tuan Ibrahim Tuan Man (timbalan presiden).

"Saya jangkakan isi kandungan ceramah lebih kepada persiapan untuk menghadapi PRU ke-15, tapi mungkin Nik Amar akan sentuh isu di Kelantan sebab dia timbalan menteri besar (Kelantan).

"Datuk Seri Tuan (Ibrahim) pula mungkin akan sentuh sikit mengenai Muafakat Nasional, Perikatan Nasional," katanya.

Mohd Tarmizi menjangkakan sekurang-kurangnya 20,000 ahli dan penyokong PAS akan hadir pada himpunan berkenaan.

Katanya, semua urusan berkaitan kelulusan penganjuran sudah selesai, termasuk kerjasama baik yang diterima daripada polis selain PAS turut menyediakan 200 petugas Jabatan Amal Malaysia bagi memastikan program itu berjalan lancar.

"Kalau ikutkan, memang kami nak buat di Jengka sebab di sana kawasan letak kereta lebih luas dan selesa untuk semua yang hadir.

"Tapi, tak mengapalah, mulanya mereka luluskan, kemudian batal, jadi kita pilih di sini (Pantai Sepat) untuk teruskan," katanya.