Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu 1MDB: Polis mulakan siasatan terhadap Apandi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis telah melancarkan siasatan terhadap bekas peguam negara Apandi Ali berhubung skandal 1MDB dan SRC International.

Siasatan dibuat menurut Seksyen 217 Kanun Keseksaan, menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Noorsiah Mohd Saaduddin.

Ia susulan laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dua hari lalu, yang mendakwa Apandi menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan skandal tersebut dengan niat membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak.

"Polis mengesahkan laporan yang dibuat Ahli Parlimen Klang pada 27 Julai 2022 mengenai isu tidak puas hati terhadap siasatan 1MDB.

"(Kes) disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman. Kes disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan dan siasatan masih berjalan," kata Noorsiah dalam kenyataan hari ini.

Seksyen 217 Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan penjawat awam yang mengingkari arahan undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan, atau harta daripada dirampas. Ia membawa keselahan penjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu hari ini, Charles dipanggil untuk memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuatnya.

Dalam kenyataan hari ini, dia mengesa ahli parlimen lain serta kumpulan masyarakat sivil untuk turut membuat laporan polis terhadap Apandi.

Dalam laporan polisnya, dia memetik penghakiman 23 Mei lalu yang disampaikan oleh hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar dalam menolak saman fitnah yang difailkan oleh Apandi terhadap pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.