Skip to main
Logo Malaysiakini

Jawatankuasa khas kabinet mula langkah gubal akta pembiayaan politik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Langkah sedang diambil untuk menggubal Akta Pembiayaan Politik bagi mengawal selia pembiayaan parti politik dengan penggubalan skop dasar bagi rang undang-undang tersebut oleh jawatankuasa khas kabinet mengenai rasuah.

Menurut jawapan bertulis menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Ahmad Maslan (BN-Pontian), jawatankuasa khas kabinet itu bermesyuarat pada 19 Mei lalu.

Jawatankuasa khas kabinet juga telah bersetuju untuk membentangkan skop dasar kepada kabinet.

Bagaimanapun, masih awal untuk sebarang rang undang-undang pembiayaan politik kerana Wan Junaidi berkata sesi kajian dan libat urus bagi draf rang undang-undang itu masih belum bermula.

“RUU ini penting kerana pada masa ini, tiada undang-undang atau peraturan untuk pembiayaan politik.

“Dengan adanya undang-undang sebegini boleh mengurangkan risiko rasuah dan salah guna kuasa melibatkan ahli politik dengan memperkenalkan laporan pembiayaan politik,” katanya.

Pada Rabu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata dia berharap dapat melaksanakan pembaharuan lain selepas lulusnya rang undang-undang antilompat parti.

Salah satu pembaharuan yang disebut oleh Ismail Sabri ialah rang undang-undang pembiayaan politik.

Gesaan untuk mengawal selia pembiayaan politik semakin rancak sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan skandal 1MDB, yang menyaksikan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak mendakwa dia menerima derma RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Undang-undang pembiayaan politik antara lain, akan mewajibkan pendedahan sumber pembiayaan, derma dan jumlah yang diterima oleh parti politik dan ahli politik.