KATA MP | Adakah Muhyiddin reformis secara diam-diam?
KATA MP | Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, mengejutkan orang ramai di majlis pelancaran buku “Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis” oleh Abdul Mutalib Razak apabila dia menggambarkan perdana menteri Malaysia kelapan sebagai seorang “reformis yang tidak diendahkan” yang “mana ramai memilih untuk tidak mengendahkan usaha pembaharuannya, atas apa jua sebab mereka,"
Adakah Muhyiddin ini seorang reformis secara-diam-diam yang tidak pernah menonjolkan dirinya sebagai reformis?
Azhar silap sama sekali apabila dia mengatakan yang Muhyiddin “tidak pernah meminta” untuk menjadi perdana menteri.
Saya tahu perkara ini kerana Muhyiddin telah meminta kepada saya untuk mendapatkan sokongan DAP untuk menjadi Perdana Menteri pada Julai 2016 – pada pertemuan gunting dalam lipatan di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur – di mana saya menolak untuk berbuat demikian kerana DAP telah komited untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Muhyiddin akan selama-lamanya diingati atas lima kegagalannya, iaitu:
(i) Konspirasi Langkah Sheraton yang terkenal yang telah mengambil mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan;
(ii) Mengumumkan darurat yang tidak sah dari segi perlembagaan selama enam bulan dan kegagalan Muhyiddin untuk melaksanakan perintah darurat;
(iii) Permulaan pandemik Covid-19 selama lebih dua tahun, di mana Malaysia memiliki Menteri Kesihatan terburuk di dunia dan daripada sebuah negara yang memiliki rekod yang baik kepada salah sebuah negara dengan rekod terburuk dalam melawan pandemik Covid-19;
(iv) Kegagalannya untuk me-Malaysia-kan pemikiran politiknya, dan beralih dari pemimpin politik yang menjadi 'Melayu terlebih dahulu' kepada menjadi warga Malaysia dulu; dan
(v) Kabinet terbesar dengan 32 orang menteri, 38 orang timbalan menteri dan empat orang duta khas bertaraf menteri.
Namun, kehidupan politik Muhyiddin yang berakhir sebagai perdana menteri ke lapan dengan tempoh berkhidmat terpendek selama 17 bulan ini mempunyai satu faktor penyelamat – pendirian tidak berkomprominya terhadap skandal 1MDB, yang telah menyebabkan dia dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri pada Julai 2015 dan kemudiannya dipecat dari Umno pada Jun 2016 oleh Najib Razak.
Sukar untuk dikatakan yang politik Muhyiddin ini merupakan satu kejayaan untuk negara, memandangkan dia telah gagal sebagai seorang menteri pendidikan.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 – yang dibentangkannya untuk Malaysia berada di atas paras purata dunia dan di dalam kalangan sepertiga tertinggi negara di dunia dalam piawaian pendidikan antarabangsa menjelang 2025 – telah gagal, memandangkan Malaysia kini berada di bawah kedudukan purata dunia dalam penilaian antarabangsa PISA dan TIMSS.
Perangnya dalam melawan rasuah juga tidak kelihatan cemerlang.
Semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 Transparency International (TI) yang diterbitkan pada Januari 2021 menunjukkan penurunan dari 53 markah ke 51, dengan kejatuhan enam kedudukan dari tempat ke-51 ke tempat ke-57.
Pada Januari 2022, TI CPI 2021 diumumkan di bawah perdana menteri baru, Ismail Sabri dan Malaysia kehilangan lima markah lagi ke 48 markah dan jatuh 11 kedudukan ke tempat ke-61.
Malaysia berkemungkinan besar akan jatuh ke tempat terendah dalam sejarah negara sejak daripada permulaan penerbitan TI CPI pada tahun 1995 apabila TI CPI 2022 diumumkan dalam bulan Januari 2023.
Malaysia berada dalam keadaan yang agak baik dalam perang melawan pandemik Covid-19 dalam enam bulan pertama, malangnya keadaan ini merosot teruk selepas tempoh ini.
Carta Ketahanan Covid Bloomberg menempatkan Malaysia di tempat ke-16 dari 53 negara dengan ekonomi yang bernilai lebih dari AS$200 billion pada bulan Januari 2021, namun apabila Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, negara kita berada di tempat ke-52.
Kegagalan berdepan Covid-19
Pencipta mitos mendakwa yang kerajaan Muhyiddin berjaya berhadapan dengan ujian terhebat dalam pandemik Covid-19.
Perkara ini jauh dari nyata. Sebaliknya Pandemik Covid-19 memberikan peluang kepada kerajaan Muhyiddin untuk menyembunyikan kelemahan dan pertembungan dalaman.
Namun, syukur kepada usaha petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang menyokong usaha kerajaan kerana memikirkan betapa dahsyatnya bencana Covid-19 ini, kita berjaya untuk terus bertahan, walaupun dengan kehilangan 35,956 nyawa yang sepatutnya boleh dielakkan, manakala 4.6 juta orang dijangkiti wabak ini.
Krisis Covid-19 di Malaysia ini berpunca daripada ‘dosa’ konspirasi Langkah Sheraton dan kesilapan dalam menguruskan pandemik ini yang mencetuskan beberapa gelombang penularan Covid-19 dan sekatan pergerakan dalam negara – jika tidak, tidak akan ada PKP, PKPB, dan PKPP!
Darurat diumumkan pada 11 Januari 2021 semasa Malaysia mencatatkan sejumlah 135,992 kes Covid-19 dan 551 kematian akibat Covid-19.
Enam bulan kemudian, di penghujung darurat pada 31 Julai 2021, Malaysia mencatatkan sejumlah 1,113,272 kes dengan 9,024 kematian akibat Covid-19 – lima kali ganda angka kes dan 16 kali ganda lebih banyak kematian berbanding dengan sebelum darurat.
Sekiranya darurat yang diumumkan pada 11 Januari 2021 ini berfungsi, ia sepatutnya dilanjutkan lagi pada 1 Ogos 2021 memandangkan peningkatan mendadak kes Covid-19.
Peningkatan mendadak kes dan kematian akibat Covid-19 sejak pengumuman darurat ini menunjukkan darurat yang telah menggantung sidang parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah ubat yang salah kepada pandemik Covid-19, malah merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pihak Eksekutif.
Namun, kegagalan terbesar Muhyiddin adalah untuk mengubah pemikiran politiknya dari 'seorang yang Melayu dahulu' kepada seorang rakyat Malaysia dahulu serta menjadi perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.
Namun itu adalah cerita yang berbeza.
LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen Iskandar Puteri
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai