Skip to main
Logo Malaysiakini

Agihan kerusi PN: Tak susah, lebih kurang halal - Muhyiddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perikatan Nasional sedang giat merundingkan pembahagian kerusi sesama parti komponennya sebagai menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka bakal diadakan tidak berapa lama lagi.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata mereka enggan menunggu berlama-lama sebaliknya duduk berbincang bagi menyelesaikan pembahagian tersebut di seluruh negara.

Bekas perdana menteri itu juga membayangkan usaha rundingan tersebut dapat dijalankan tanpa banyak masalah.

"Kita telah buat keputusan dalam mesyuarat PN lalu yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Kita tak nak berlengah.

"Kita nak duduk, runding dan selesaikan pembahagian kerusi seluruh negara, parlimen dan negeri-negeri yang akan kita hadapi pada masa hadapan (PRU ke-15).

"Tak susah, lebih kurang (minta) halal. Maknanya bertolak ansur," katanya dipetik Sinar Online semasa berucap pada majlis pelancaran PN Terengganu di pekarangan Masjid Rusila, Terengganu, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin; pengerusi PN negeri, Ahmad Samsuri Mokhtar; dan pemimpin lain dalam gabungan tersebut.

Tambah Muhyiddin penyelesaian pembahagian tersebut akan membantu jentera parti PN untuk mengetahui siapa bertanding di sesuatu kawasan, lalu memberikan bantuan sewajarnya.

"Bersatu mesti bantu PAS menang. Di kawasan Bersatu, PAS bantu Bersatu menang, dan lain lagi sebab kita sudah ada dalam satu jemaah PN," katanya.

Ahli parlimen Pagoh itu juga menegaskan matlamat PN memasuki PRU ke-15 ialah untuk turut memenanginya di peringkat pusat.

Katanya ketika ini PN sudah menguasai beberapa negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah

"Yang sudah menang, (biar) kekal menang.

“Tugas penting (PN ialah) untuk menyelamatkan negara, bukan untuk Terengganu, Kedah dan Kelantan sahaja. (PN) Nak menyematkan negara, nak menyelamatkan seluruh Malaysia.

“Untuk itu kita perlu bentuk kerajaan pusat, kita mahu supaya dapat menang dengan membentuk kerajaan persekutuan,” katanya.