Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelosi jelajah Asia Pasifik, akan singgah M'sia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi akan mengetuai delegasi kongres negara itu ke rantau Asia Pasifik, termasuk lawatan ke Malaysia, Singapura, Korea Selatan dan Jepun.

Lawatan itu akan memberi tumpuan kepada keselamatan bersama, perkongsian ekonomi dan tadbir urus demokratik di rantau Asi Pasifik.

“Saya mengetuai delegasi Kongres ke Indo-Pasifik untuk mengesahkan komitmen Amerika yang teguh kepada sekutu dan rakan kami di rantau ini.

"Di Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun, kami akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi untuk membincangkan cara kami boleh memajukan kepentingan dan nilai bersama kami," katanya pada ciapan di Twitter semalam.

Kementerian Luar Singapura dilapor mengesahkan delegasi Pelosi akan melawat negara itu pada 1 hingga 2 Ogos, dengan pertemuan dijadualkan bersama Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Sementara itu, perincian lawatan Pelosi ke Malaysia masih belum jelas lagi.

Pejabat Pelosi juga dilaporkan tidak menyatakan sama ada enam anggota delegasi itu akan melawat Taiwan atau tidak.

Sejak berminggu lalu, ketegangan AS-China semakin meningkat berikutan laporan Pelosi mungkin melawat Taiwan.

Khamis lalu, Presiden AS Joe Biden dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping melalui perbualan telefon setuju untuk menjadualkan sidang kemuncak pertama mereka.

Taiwan yang ditadbir sendiri, dilihat China sebagai sebahagian daripada wilayahnya untuk disatukan semula secara paksa jika perlu.