Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu lahirkan anak di luar negara imbas kembali pengalaman 'didiskriminasi'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dengan tarikh keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan kerajaan terhadap keputusan kes kerakyatan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu wargaMalaysia yang berkahwin dengan warga asing semakin hampir, beberapa wanita mengimbas kembali apa yang mereka perlu lalui sebelum ini.

Antaranya pengawal keselamatan Lavinder Kaur, yang terpisah dengan anak perempuannya lebih setahun ekoran isu visa, ketika penularan wabak Covid-19.

Anaknya, Sarabjit Kaur lahir di India dan tinggal di Malaysia menggunakan visa pelajar, yang tamat tempoh ketika dia masuk usia 18 tahun.

Namun, pembaharuan visanya didakwa telah ditolak dan dia diminta untuk memohon visa pelajar antarabangsa, menurut ketua koordinator Family Frontiers Bina Ramanand.

"Dia mendaftar untuk duduki SPM, tetapi imigresen enggan beri visa (pelajar) kepadanya ketika dia berusia 18 tahun. Dia diarah untuk dapatkan visa pelajar antarabangsa.

"Pertama, mereka (keluarga Lavinder) tidak mampu untuk mendapatkannya dan kedua, kolej mana yang akan terima dia masuk jika dia tiada sijil SPM?" soal Bina.

Bina membandingkannya dengan anak-anak ekspatriat yang mendapat pas lawatan sosial jangka panjang dan tinggal di Malaysia selepas berusia 18 tahun.

Namun, katanya lagi, anak kepada ibu warga Malaysia yang lahir di luar negara hanya akan diberi visa pelajar antarabangsa atau pas pekerja selepas berusia 18 tahun.

Kerenah birokasi

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan semua wanita warga tempatan yang berkahwin dengan lelaki warga asing mempunyai hak sama dengan lelaki warga tempatan yang berkahwin dengan wanita warga asing, untuk mewariskan kerakyatan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Sementara ada ibu warga Malaysia yang akhirnya berjaya mendaftarkan anak mereka sebagai warga di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tidak semua yang bernasib baik seperti itu.

Susulan keputusan itu, Jun lalu dilaporkan ramai anak kepada wanita warga Malaysia yang lahir di luar negara diberitahu yang permohonan kerakyatan mereka akan mengambil masa enam bulan lagi untuk diproses.

Data JPN menunjukkan hanya 19 daripada 3,407 permohonan kerakyatan diluluskan sejak 2018 hingga Jun tahun ini. Tujuh daripadanya ditolak.

Semalam, Family Frontiers and the United Kingdom and Malaysian Law Students’ Union (KPUM) menganjurkan tayangan filem pendek bertajuk ‘Let’s Talk Citizenship Born to a Malaysian mother but not Malaysian?

Filem itu mengisahkan seorang perempuan bernama Aini yang bimbang dengan masa depan tidak menentu anak autismenya, Nana. Nana lahir pada 2016 di Riyadh, Arab Saudi.

Sementara itu, Ummal Remiza dan suaminya memang merancang untuk membesarkan anaknya di Malaysia. Tetapi, seperti ramai yang lain, tidak tahu akan permasalahan yang akan dialami anaknya berkaitan kerakyatan.

Kerenah birokrasi yang dialaminya bermula ketika dia melahirkan anak sulung di Qatar. Ketika itu, dia diberitahu permohonan perlu diserahkan mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 15(2) membenarkan anak mendapat kerakyatan asalkan salah seorang ibu atau bapanya warga Malaysia.

Namun ketika peringkat awal permohonan, Ummal diberi peringatan yang tiada jaminan kerakyatan untuk anak perempuannya.

‘Kenapa you kahwin orang luar?’

Dia berkata, lapan tahun telah berlalu sejak dia memohon kerakyatan untuk anak perempuannya, di mana sepanjang tempoh itu dia mendakwa didiskrimasi oleh JPN.

"Ketika saya pergi ke sana (JPN), saya ditanya 'kenapa you kahwin orang luar?'," katanya.

Selain beban kewangan ekoran proses permohonan kerakyatan dan visa yang perlu ditanggung, Ummal juga membangkitkan apa yang disifatkannya sebagai percanggahan dalam sistem.

"Satu jabatan beritahu anda yang mereka perlu beberapa perkara dalam senarai semak dan apabila anda pergi ke sana, ada satu lagi (senarai semak) yang lain (yang perlukan dokumen berbeza).

"Dan mereka (pegawai) tidak peduli sebenarnya tentang apa yang kita hadapi, berulang-alik. Mereka beritahu saya kalau saya pilih untuk kahwin warga tempatan, ia lebih baik untuk saya.

"Pada masa itu, saya tidak sedar yang saya seorang perempuan warga Malaysia yang didiskriminasi," katanya lagi.

Dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 1 Disember 2021, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mengkaji secara menyeluruh cadangan meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, berkenaan kerakyatan anak kepada perempuan warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bagaimanapun membangkitkan perkembangan jawatankuasa itu.

Ramkarpal berkata dia telah membangkitkan perkara itu sekali lagi pada sidang kali ini tetapi belum menerima sebarang jawapan.