Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenazah Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jenazah bekas Menteri Besar Selangor Allahyarham Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam kira-kira 2.30 petang tadi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke makam berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat zohor dengan dipimpin oleh imam besar masjid, Muhammad Farhan Wijaya dan disertai ratusan jemaah termasuk ahli keluarga dan sahabat handai.

Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta beberapa Adun dan Ahli Parlimen Selangor.

Terdahulu, jenazah Menteri Besar ke-14 Selangor itu tiba di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara, kira-kira enam pagi tadi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Abdul Khalid meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Allahyarham Abdul Khalid, 76, telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lepas akibat jangkitan kuman pada injap jantung.

-Bernama