Skip to main
Logo Malaysiakini

PAC berang nama menteri, firma dihitamkan dalam laporan siasatan AES

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kesal dengan Jabatan Perdana Menteri yang tidak mematuhi gesaannya untuk menyahklasifikasikan sebuah laporan berhubung sistem penguatkuasaan automatik jalan raya (AES).

Daripada menyahklasifikasi sepenuhnya laporan 2019, seperti yang disyorkan oleh PAC tahun lalu, beberapa nama, termasuk menteri dan syarikat, masih dihitamkan, kata pengerusi PAC Wong Kah Woh.

“Adalah amat tidak masuk akal apabila nama-nama syarikat yang terbabit iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd yang telah menjadi pengetahuan umum, dan nama menteri-menteri juga turut dihitamkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan itu dijalankan oleh jawatankuasa siasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri.

Wong berkata kegagalan untuk menyahklasifikasikan sepenuhnya laporan itu menunjukkan sikap tidak menghormati institusi Parlimen terutama sekali PAC.

“Rakyat boleh menilai sendiri tindakan kerajaan yang bersikap acuh tidak acuh terhadap syor PAC yang juga jawatankuasa pilihan Dewan Rakyat untuk menyahklasifikan sepenuhnya laporan JKSTUPKK itu.

“Tindakan menghitamkan sebahagian laporan berkenaan yang tidak ada kena mengenai dengan aspek keselamatan negara atau dasar yang sensitif jelas sikap kebudak-budakan dan merendahkan martabat parlimen,” katanya.

Gesaan supaya menyahklasifikasi laporan itu dibuat pada 21 November tahun lalu tetapi ini masih tidak dilakukan apabila prosiding susulan diadakan pada Mac, tambahnya.

Wong berkata, peringatan supaya menyahklasifikasi laporan berkenaan tidak dilakukan sepenuhnya sebaliknya, maklumat-maklumat berkenaan dengan nama-nama masih dihitamkan.

Projek AES mencuri tumpuan susulan bantahan awam terhadap kamera kelajuan automatik itu.

PAC tahun lalu mendapati penswastaan sistem penguatkuasaan jalan raya berkenaan adalah tidak wajar sehingga menyaksikan kerajaan bertindak menyelamatkan dua syarikat konsesi itu.

Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diarahkan untuk mengambil alih dua konsesi itu dengan kos RM555 juta, tetapi firma audit KPMG menilaikan projek itu pada maksimum hanya berharga RM251 juta.

ATES menerima RM295 juta manakala Beta Tegap meraih RM260 juta.

Ketika itu, hanya 14 kamera kelajuan telah dipasang manakala 45 lagi dipasang di seluruh negara menjelang Disember 2020.

Bagaimanapun, LTAT memberitahu Edge jumlah yang dibayar kepada pemegang konsesi adalah berdasarkan pulangan daripada tempoh konsesi selama 13 tahun.

Pengarah asal ATES adalah Chee Chwee Cheong, yang dilaporkan sebagai sekutu Omar Mustapha Ong, bekas pembantu bekas perdana menteri Najib Razak.

Pemegang saham Beta Tegap ketika itu adalah individu yang dikatakan mempunyai kaitan politik iaitu Andreas Teoh dan Rozana Redzuan.

[Baca berita penuh]