Skip to main
Logo Malaysiakini

LTAT jangan duduk makan gaji saja, tegur Tajuddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman membangkitkan kelemahan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berhubung apa yang didakwanya sebagai kegagalan agensi terbabit dalam usaha menjaga kebajikan pesara tentera.

Bercakap pada sidang Dewan Rakyat, Tajuddin juga meminta pihak pengurusan agensi terbabit supaya jangan duduk makan gaji saja.

“Saya rasa LTAT kena rombak skit, psikologi, minda, budaya dan sikap.

"Jangan duduk situ, makan gaji je. Tiap-tiap bulan ambil gaji," katanya.

Tajuddin berkata demikian ketika membahaskan pindaan undang-undang yang memberi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kuasa pelaburan yang lebih luas, yang dibentangkan oleh Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein untuk bacaan kali kedua.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata dia menerima banyak aduan daripada bekas anggota tentera mengenai masalah kewangan dan kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas tamat perkhidmatan.

Kata Tajuddin, adalah menjadi tanggungjawab LTAT dan menteri pertahanan untuk membantu kumpulan terbabit, sambil menambah bahawa isu itu tidak ditangani selama bertahun-tahun.

"Saya dah berkecimpung dengan kumpulan pesara angkatan tentera. Setiap kali mereka datang kepada saya mengadu tiada pekerjaan, tak ada apa yang dapat dibuat, pendapatan tak ada.

Gambar fail, protes veteran ATM di Tugu Negara.

"Minta tolong saya untuk buatkan rumah untuk orang miskin, minta tolong carikan tanah untuk mereka usahakan.

"Ini situasi yang berlaku sejak beberapa tahun lalu sehingga hari ini. Maksudnya, apa yang LTAT buat?

“LTAT ditubuhkan untuk membantu kebajikan bekas anggota tentera, bukan sahaja untuk menghasilkan dividen yang boleh diagihkan. Tapi, apa yang adalah untuk menjaga kepentingan pesara terutama mereka yang termasuk dalam kategori B40 selepas bersara. Tak rasa bersalahkah LTAT," soalnya.

“Pengurusan LTAT... menteri di kementerian Pertahanan tak lihat ke? Bertukar dari seorang menteri ke menteri yang lain, tetapi masih sama,” katanya.

Tambah Tajuddin, LTAT mempunyai sejumlah dana yang cukup besar, yang katanya boleh digunakan untuk membantu pesara tentera menubuhkan perniagaan mereka sendiri.

Oleh itu, Tajuddin mencadangkan LTAT memperuntukkan dananya untuk menyediakan peluang keusahawanan kepada golongan terbabit, seperti dalam bidang pertanian, penternakan dan pengeluaran makanan.