Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes rasuah MP Warisan kekal di mahkamah sesyen

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan terus mendengar kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli yang dibicarakan berhubung dakwaan semasa dia berkhidmat sebagai timbalan pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat hakim Muhammad Jamil Hussin pagi ini selepas meneliti permohonan ahli parlimen Warisan terbabit yang memohon agar kesnya dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Kata Muhammad Jamil kes rasuah Rozman tidak menimbulkan sebarang isu undang-undang luar biasa sehingga ia memerlukan mahkamah tinggi mendengar perkara itu.

Menurut hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu lagi, mahkamah sesyen memadai untuk meneliti dan memutuskan sebarang isu undang-undang yang mungkin timbul daripada perbicaraan berkenaan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujah pemohon bahawa kesnya perlu dibicarakan di hadapan mahkamah tinggi berikutan liputan media yang meluas mengenai perkara itu.

“Semua tertuduh mesti dilayan sama rata (di hadapan undang-undang) tanpa mengira status. Dia (Rozman) sebagai ahli politik tidak boleh diberi layanan istimewa,” kata Jamil.

Perbicaraan kes rasuah Rozman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan untuk bermula selama dua hari bermula 11 Ogos ini.

Pada 14 Okt tahun lepas, Rozman mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan rasuah. Dia didakwa menggunakan jawatannya ketika itu sebagai timbalan pengerusi LPA untuk mendapatkan kontrak kerajaan bagi sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan bapa dan adik-beradiknya.

Semasa sidang media yang diadakan sejurus selepas dia dituduh pada hari itu, Rozman mendakwa kesnya dibawa ke mahkamah selepas enggan untuk berpaling tadah daripada Warisan dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dakwaan itu menjadi asas kepadanya membuat permohonan agar pertuduhan tersebut dibatalkan. Bagaimanapun ia ditolak mahkamah sesyen.

Rozman kemudian mengemukakan permohonan kali kedua untuk membatalkan pertuduhan tersebut di mahkamah tinggi pula.

Menurut salinan afidavit bagi menyokong cubaan itu, Rozman mendakwa antara mereka yang cuba memujuknya meninggalkan Warisan ialah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri, pembantu perdana menteri ketika itu, dan timbalan menteri.

Rozman mendakwa ia merupakan sebahagian daripada usaha meluas PN untuk cuba mendapatkan sokongan sejak 29 Feb 2020 ekoran Langkah Sheraton yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan.

Dalam prosiding di mahkamah terbuka hari ini, Muhammad Rafique Rashid Ali menjadi peguam mewakili Rozman, manakala pendakwaan dijalankan timbalan pendakwa raya Ahmad Feisal Mohd Azmi.