Bapa bunuh diri lepas campak 3 anak dari atas lebuh raya
Dua kanak-kanak meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah apabila mereka dicampak oleh seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai bapa mereka, dari atas Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kepong awal pagi tadi.
Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai berkata polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang saksi pada pukul 5.50 pagi tadi.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiga kanak-kanak dipercayai berbangsa Myanmar terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun dan dua kanak-kanak lelaki berumur tidak pasti.
"Mereka telah dicampak dari atas Lebuhraya MRR2 ke bawah oleh seorang lelaki dewasa (38 tahun) juga dipercayai berbangsa Myanmar, yang dipercayai bapa mereka.
"Saksi telah menghampiri lelaki tersebut namun secara tiba-tiba lelaki tersebut terus mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari atas lebuh raya ke bawah," katanya menjelaskan lelaki itu kemudian membunuh dirinya.
Beh berkata, lelaki dewasa dan dua kanak-kanak mati di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak yang cedera parah selepas jatuh ke semak di tepi jalan.
Lelaki dan kanak-kanak perempuan itu adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kata Beh lagi.
Doktor menjangka kanak-kanak yang cedera parah itu berusia kira-kira lima tahun.
Beh berkata dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.
Beh menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan insiden itu untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Baldev Singh di talian 012-480 6062 atau hubungi IPD Sentul di 03-40482222.
Jika anda berasa tertekan atau ingin membunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan ini, sila hubungi talian hotline berikut:
Talian Kasih
Hotline: 15999
The Befrienders
Hotline: 03-76272929
Agape Counselling Centre Malaysia
Hotline: 03-77855955 or 03-77810800
Life Line Association Malaysia
Hotline: 03-42657995
Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk petugas barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.
Talian boleh dihubungi di 014-3223392, 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935, dari 8 pagi ke 5 petang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai