Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwa Hadi fitnah PH, Amanah akan buat laporan polis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Amanah berkata pihaknya akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menurut mereka telah memfitnah PH.

Pengarah Mobilisasi Amanah Sany Hamzan berkata, laporan itu berhubung ucapan Abdul Hadi ketika berucap di majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Sabtu lalu

"Seperti video ucapan presiden PAS sewaktu pelancaran PN Terengganu yang menyatakan PH cuba merungkai perlembangaan negara ketika memerintah 22 bulan.

"Oleh itu, setiap negeri dan kawasan diminta untuk membuat laporan polis atas fitnah tersebut di seluruh negera secara serentak," katanya dalam kenyataan hebahan, hari ini.

Sany berkata laporan polis itu akan dibuat esok pada jam 2.30 petang.

Terdahulu Abdul Hadi dalam ucapannya antara lain menyatakan PH cuba merungkai perlembagaan negara ketika menjadi kerajaan.

Katanya, PH menang pilihan raya dan tiba-tiba menunjukkan dasar "tikus membaiki labu" sertai gagal menyelesaikan masalah.

"Cuba nak rungkai perlembagaan, cabar Islam, cabar hak keistimewaan orang Melayu. Ini asas yang penting dalam perlembagaan, nak dirungkaikannya.

"Berani cabar, hina Islam dan macam-macam. Akhirnya PAS berunding dengan Bersatu mengajak buat perubahan melalui demokrasi parlimen dan Umno ikut serta," katanya dipetik daripada ucapan tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai Abdul Hadi bagi mendapat maklum balas berkenaan perkara ini.