Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebuh raya Pan-Borneo: Shafie, timb menteri saling tuding jari

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur Joseph Kurup saling menuding jari antara satu sama berhubung kelewatan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Shafie (Warisan-Semporna) mempersoalkan dakwaan Kurup bahawa 65 peratus lebuhraya itu telah pun siap.

“Apakah langkah yang digunakan kementerian kerana setahu saya, tidak sampai 50 peratus jalan pun siap di Lebuhraya Pan Borneo.

“Malam tadi apabila saya pulang ke Semporna, jalan utama bergelombang dan pada waktu malam tiada lampu yang boleh menyebabkan kemalangan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur Joseph Kurup.

"Dari Sandakan ke Telupid, dari Penampang ke Sebitang, saya nak tanya syarikat yang dilantik sudah siap kerja," soal presiden Warisan itu semasa sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Shafie, piawaian yang digunakan untuk memilih syarikat terbabit turut membimbangkan meskipun memuji Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana memberi kelulusan untuk semua baki 19 pakej dan komitmen untuk projek yang sering tertangguh untuk disiapkan dalam tempoh 5 tahun.

Bagaimanaun, Kurup kemudian menyalahkan pentadbiran terdahulu atas kelewatan pembangunan lebuhraya terbabit.

“Kita akui berbanding Sarawak, pembinaan lebuh raya di Sarawak mencecah lebih 85 peratus, tetapi di Sabah hanya 63 peratus.

“Tetapi faktor utama yang tidak boleh dinafikan ialah berlaku pertukaran kerajaan di Sabah pada 2018 apabila ahli parlimen Semporna sendiri menjadi ketua menteri dan membatalkan model rakan penyampai projek (PDP) pada masa itu .

“Dan ini telah melambatkan pelaksanaan pembangunan Pan Borneo Sabah," katanya.

Pada 2019, kerajaan dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menghentikan kontrak rakan pelaksana projek (PDP) untuk Lebuh Raya Pan Borneo.

"Kalau kita bandingkan dengan Sarawak, dasar itu konsisten dan pembangunan juga konsisten. Kalau Sabah tidak buat perubahan, mungkin Sabah juga akan mempunyai status kemajuan yang sama seperti Sarawak," kata Kurup.